TELAGA BIRU DENGAN KERJASAMA IKIM LANCARKAN BUKU TADABBUR SURAH YASIN & FUSSILAT DI PBAKL 2025

KUALA LUMPUR, 24 Mei (IKIM) – Dua karya istimewa bertemakan penghayatan al-Quran, Tadabbur Surah Yasin dan Tadabbur Surah Fussilat hasil tulisan ilmuwan terkemuka Datuk Dr. Haji Zahazan Mohamed, dilancarkan secara rasmi hari ini bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Ketua Pengarah, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil menyifatkan buku tersebut sebagai usaha murni dalam menyemarakkan budaya tadabbur al-Quran dalam kalangan masyarakat.

“Pelancaran buku ini bukan sekadar satu peristiwa penerbitan, tetapi satu semangat untuk membawa masyarakat lebih dekat dengan al-Quran melalui pendekatan yang mudah difahami namun sarat dengan makna dan hikmah,” katanya dalam perasmian di Pentas Utama PBAKL.

Mohamed Azam berkata kedua-dua buku tersebut menyentuh secara mendalam maksud dan mesej dalam Surah Yasin dan Surah Fussilat, dua surah penting yang masing-masing mengandungi mesej tauhid, kejelasan wahyu dan cabaran dakwah.

Istimewanya, isi kandungan buku ini disusun berdasarkan siri popular Lembayung al-Quran yang ke udara di IKIMfm bersama penulis, Datuk Dr. Haji Zahazan Mohamed yang sebelum ini telah menyentuh hati ribuan pendengar dan membina jati diri umat menerusi pendekatan tadabbur.

“Dari corong radio kini ke dalam genggaman pembaca, isi yang pernah menggetarkan jiwa telah dibukukan agar manfaatnya lebih meluas,” ujar beliau. 

Majlis turut diserikan dengan perkongsian ilmu dan kisah tadabbur yang disampaikan okeh penulis sendiri. 

Turut hadir Pengerusi Kumpulan Telaga Biru Sdn. Bhd., Tuan Haji Waharp Yusoff; Pengarah Pusat Media IKIM, Haji Ahmad Fuad Mat Ali; dan Pengurus Besar Bahagian Ekonomi dan Pemasaran IKIM, Al-Iskandar Mokhtar.

WhatsApp
Scroll to Top