ULUL AZMI adalah gelaran khusus yang diberikan kepada Nabi dengan tingkat ketabahan, keteguhan dan kesabaran tinggi dalam berdakwah serta beberapa aspek lainnya. Secara umum yang lebih ditonjolkan bagi Rasul yang bergelar ulul azmi adalah tekad dan keteguhan hati yang kuat dengan disertai kesabaran dan ketabahan hati yang luar biasa dalam menghadapi segala bentuk rintangan dan tentangan dalam berdakwah dan menyebarkan agama Allah SWT. Terdapat lima Nabi yang mendapatkan gelaran Ulul Azmi yakni Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Muhammad SAW.
Hal tersebut diterangkan oleh Allah SWT di dalam al-Qur’an yang bermaksud “Maka bersabarlah engkau (Muhammad) sebagaimana kesabaran rasul-rasul yang memiliki keteguhan hati, dan janganlah engkau meminta agar (azab) disegerakan untuk mereka. Pada hari mereka melihat azab yang dijanjikan, mereka merasa seolah-olah tinggal (di dunia) hanya sesaat saja pada siang hari. Tugasmu hanya menyampaikan, maka tidak ada yang dibinasakan, kecuali kaum yang fasik (tidak taat kepada Allah) ( Surat al-Ahqaf , ayat 35). Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa, dan Nabi Muhammad adalah nabi-nabi pilihan Allah yang memiliki kisah perjuangan luar biasa. Malah, mereka disifatkan sebagai para nabi yang hebat dalam menguruskan emosi atau tekanan yang dihadapi. Namun, para nabi tersebut tidak menyerah dan putus asa menyampaikan perintah-perintah Allah SWT kepada umatnya. Selain itu, mereka juga mendapatkan mukjizat dari Allah. Nabi Musa mampu mengubah tongkatnya menjadi ular. Nabi Isa mampu menyembuhkan dan menghidupkan orang yang telah meninggal dan Nabi Nuh membuat kapal besar di atas gunung, dan Nabi Ibrahim tubuhnya tidak bisa di bakar oleh api sedangkan Nabi Muhammad Al-qur\’an dan pernah pergi ke langit ketujuh bersama Malaikat Jibril hanya dalam waktu semalam.
Pada siri perbincangan minggu lalu dalam rancangan Pesona D’Zahra di radio IKIMfm pada hari Isnin jam 10 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin menyatakan bahawa selain daripada memantapkan ilmu sifat peribadi yang unggul, seseorang individu itu juga harus memperbaiki dari semasa ke semasa dari segi aspek pengurusan emosinya. Dalam melayari kehidupan bersama, pasti akan ada cabaran dan rintangan yang perlu dihadapi bersama. Umpama air laut, ada pasang surutnya, ada ketika masa tenang namun ada masa gelora dilanda ombak yang begitu kuat menghempas. Hakikatnya, perkahwinan merupakan perkongsian hidup yang memerlukan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan wanita untuk hidup bersama sepanjang hayat. Menurut Imam Al-Ghazali pula dalam kitabnya Ihya Ulum Ad-Din, terdapat 74 kalimah sabar dalam al-Quran. Walau berapa pun jumlahnya, sifat sabar tetap dianggap antara sifat mahmudah yang boleh mendorong seseorang menjadi insan yang bertakwa. Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan jika kamu membalas kejahatan (mereka), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan sama seperti ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu) dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah, dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (Surah An Nahl, ayat 126-127).
Sememangnya sifat sabar dalam pelbagai situasi yang Allah SWT bekalkan kepada setiap hamba-Nya. Antaranya sabar daripada musibah, sabar daripada melakukan perkara maksiat dan paling utama ialah sabar dalam melaksanakan ketaatan sewaktu beribadat kepada Allah SWT. Ia hendaklah disertai dengan sifat ikhlas dan usaha bersungguh-sungguh. Kadang-kala kita berasakan bahawa mudah untuk melakukan sesuatu ketaatan. Sabar daripada melakukan perkara maksiat pula sukar kerana ia memerlukan usaha bersungguh-sungguh dan paksaan yang kuat untuk meninggalkannya.
Sesungguhnya, sifat sabar adalah kematangan hati dan akal kita dan bersedia untuk berkongsi kebaikan tersebut kepada orang lain. Orang Mukmin akan banyak berdoa dan bermunajat kepada Allah swt sama ada dalam keadaan tenang ataupun dalam keadaan gelisah. Di samping itu, bagi memupuk diri untuk terus bersabar dalam hidup yang penuh pancaraba ini, basahilah bibir dengan mengungkapkan kalimah “La Haula wa La Quwwata Illa Billah.”. Jadikanlah ia sebagai amalan kita, terutama saat menghadapi kesulitan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Oktober 2017