‘TADABBUR ALAM’ TARIKAN PELANCONGAN DI LANGKAWI

LANGKAWI, 15 Mei (IKIM) –  Inisiatif Tadabbur Alam Langkawi yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merupakan penerokaan baharu dalam sektor pelancongan dengan menerapkan unsur dan konsep pelancongan berasaskan Islam (Islamic tourism).

Program yang bertujuan mendidik kumpulan sasar untuk menghargai kebesaran Allah dan memahami kepentingan alam sekitar ini merupakan inisiatif kerjasama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan LADA melalui aktiviti interaktif dan menyeronokkan. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata pihak ILIM dan LADA telah memilih lima dimensi Tadabbur Alam bersesuaian dengan tempat-tempat utama yang menjadi tarikan pelancongan di Langkawi antaranya burung helang; Tasik Dayang Bunting; hutan paya bakau; batu kapur dan fosil; serta Gunung Machinchang. 

“Saya yakin setiap dimensi ini akan membimbing kita untuk melihat, merenung dan menyedari betapa agungnya ciptaan Allah dan betapa rapatnya kaitan alam dengan ayat-ayat al-Quran,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Pelancaran Video Tadabbur Alam Langkawi Unesco Global Geopark di Auditorium Kompleks LADA, di sini hari ini. 

Mohd Na’im turut berharap agar Program Tadabbur Alam yang merupakan inisiatif yang julung-julung kali dilaksanakan ini akan memberi impak yang besar kepada syiar Islam dan pembangunan sektor pelancongan di Langkawi khususnya, dan Malaysia amnya dalam merancakkan lagi industri pelancongan khususnya Pelancongan Islam di negara ini.

Beliau dalam majlis tersebut turut menutup  Program Liqa’ Duat Al-Falah anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dengan kerjasama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan peserta yang terdiri daripada Guru Takmir, Guru KAFA, Guru Tahfiz, Imam serta pegawai masjid di Langkawi.

“Program ini satu usaha memperkasa pendakwah akar umbi agar terus relevan dan berkesan terutamanya di Langkawi,” kata beliau. 

Sumbangan berupa wang RM150 turut diberikan kepada 40 orang duat dengan jumlah keseluruhan RM6,000.00. 

Mohd Na’im yang dalam lawatan kerja 2 hari ke Langkawi bermula hari ini turut menghadap Tuanku Sultan Kedah bagi beberapa penyerahan penting antaranya zakat perniagaan Tabung Haji 2024 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah berjumlah RM8,022,798.80.

Selain itu, turut disempurnakan penyerahan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM86,070,692.00 bagi pembayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan KAFA di Kedah untuk tahun 2025 selain sumbangan RM200,000 daripada Tabung Musa’adah JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia kepada mangsa banjir di Kedah. 

Tidak ketinggalan, sebanyak RM600,000.00 dana wakaf turut diagihkan bagi pembangunan kilang padi di bawah Projek HASSAN, yang merupakan inisiatif ekonomi wakaf untuk memperkukuh sektor makanan dan pertanian umat Islam.

Beliau dalam lawatan tersebut turut mengunjungi  Langkawi Autism Care Centre dan menyaksikan sendiri usaha murni yang dilakukan untuk menyantuni anak-anak

istimewa termasuk menyerahkan sumbangan dana wakaf tunai berjumlah RM10,000.00 disampaikan oleh Yayasan Waqaf Malaysia bagi pembelian alatan terapi demi manfaat anak-anak autisme di pusat ini.

Mengakhiri lawatan hari pertama beliau turut berkesempatan ke program Kenduri rakyat dan rakaman Forum Perdana bertajuk “Anak Online, Mak Ayah Offline” dengan panel jemputan Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Zul Ramli dan Dr. Robiah K. Hamzah.

Gambar : FB Dato’ Setia Dr. Naim

WhatsApp
Scroll to Top