BANGI, 18 April (IKIM) – Hubungan rapat antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan syarikat-syarikat korporat menerusi insiatif Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) JAKIM diharap dapat dimanfaatkan untuk tujuan kebaikan dan dakwah yang berterusan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan kekuatan kewangan dan dana wakalah zakat yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat korporat ini dapat digunakan untuk tujuan kebajikan dan dakwah.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Liqa’ Mahabbah SDK JAKIM bersama Ketua-ketua Pegawai Eksekutif Syarikat-syarikat Korporat Malaysia tahun 2025 di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut menekankan ajaran Baginda Nabi SAW agar melakukan kebaikan dan memberi manfaat kepada manusia lain.

“JAKIM menerusi SDK ini akan memperkukuhkan hubungan dan bawa negara Malaysia seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri untuk menuju kepada Malaysia MADANI yang berjaya bukan sahaja dari sudut ekonomi tetapi dari aspek pembangunan sahsiah, masyarakat dan rakyat Malaysia yang berbudi bahasa, saling hormat-menghormati, ada nilai belas ihsan dan semangat perpaduan yang kukuh,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata penganjuran majlis ini turut mencerminkan komitmen dan kesepakatan syarikat-syarikat korporat dalam mendokong agenda pemerkasaan institusi masyarakat MADANI melalui pembinaan semula kerohanian dan pengukuhan kekuatan dalaman ummah secara bersepadu.
Berkonsepkan “Santai Silaturrahim Aidilfitri”, majlis ini merupakan inisiatif kerajaan untuk memperkasakan gerakan dakwah dalam sektor korporat melalui usaha menyemarakkan budaya ilmu serta membantu golongan yang memerlukan sama ada dari segi fizikal atau spiritual.

Seramai lebih 50 anak yatim turut diraikan dalam majlis ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib Ismail dan Pengurus Besar Kanan IKIMfm, Haji Mahathir Shaharuddin.