SURAU AL-FIRDAUS PRESINT 11F SIAP DIBINA, MAMPU TAMPUNG LEBIH 2,000 JEMAAH

PUTRAJAYA, 29 Mei (IKIM) — Surau Al-Firdaus di Presint 11F, Putrajaya kini siap sepenuhnya dan bersedia untuk dibuka kepada orang ramai mulai 1 Jun 2025. Majlis penyerahan kunci surau tersebut telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). 

Mohd Na’im menzahirkan rasa syukur atas kejayaan projek tersebut yang disifatkan sebagai hasil kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Perbadanan Putrajaya, para kontraktor dan juruperunding.

“Alhamdulillah, pembinaan surau ini berjaya disempurnakan. Semoga surau ini bukan sahaja menjadi tempat ibadah, malah pusat yang menyatukan masyarakat dalam pendidikan dan pembangunan sahsiah Islamiah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Serahan Kunci Surau Al-Firdaus Presint 11F di sini hari ini. 

Tanah bagi pembinaan surau tersebut telah dirizabkan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan diselenggara oleh MAIWP, yang turut meluluskan peruntukan awal sebanyak RM3 juta pada tahun 2015. 

Namun, berikutan perubahan reka bentuk dan peningkatan keperluan penduduk setempat, surau ini telah diperluas kepada dua tingkat dengan kapasiti 2,200 jemaah, lebih dua kali ganda berbanding perancangan asal.

Dengan keluasan meningkat daripada 710 meter persegi kepada 1,710 meter persegi, kos keseluruhan projek juga meningkat kepada hampir RM6.8 juta. 

“Walaupun melibatkan pertambahan bajet dan masa, saya percaya ia adalah pelaburan yang berbaloi demi manfaat jangka panjang masyarakat di kawasan ini,” tambah beliau.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tuan Syed Kamarulzaman Bin Syed Kabeer; Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud; Mohd Fauzi Bin Abidin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP; dan Ir. Haji Noor Azidy Bin Ishak, Pengerusi Surau Al-Firdaus. 

WhatsApp
Scroll to Top