Surat Cinta

PERKARA yang paling indah terjadi kepada seseorang insan adalah menanti datangnya surat cinta dari orang yang istimewa. Bahkan surat atau warkah cinta membuatkan manusia merasa gembira dan bahagia. Namun, bagi seseorang mukmin warkah cinta yang memberi kebahagiaan adalah kitab suci al-Qural al-Karim.

Menerusi rancangan Islam itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm hari Rabu jam 10.15 pagi, al-Fadhil Ustaz Firdaus Subhi berkata Allah SWT menurunkan al-Quran yang setiap satu dari ayat-ayat yang dinukilkan mempunyai makna yang besar dalam kehidupan insan. Allah SWT menyatakan perkara ini di dalam al-Quran menerusi surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud “(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu maka hendaklah ia berpuasa, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur”.

Sesungguhnya seluruh lembaran hidup manusia tidak akan terpandu hanya oleh akal semata-mata, tetapi ayat-ayat Allah melalui kitab suci al-Quran yang akan menunjuki jalan hidup yang lurus dan benar sesuai dengan maksud turunnya al-Quran untuk menjadi pedoman kepada umat manusia.

Dalam sebuah nukilan disebutkan kisah tentang seorang sahabat yang bernama Abu DZar al-Ghifari yang meminta nasihat daripada baginda Rasulullah SAW buat dirinya. Lalu Rasulullah SAW berkata “ Hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah SWT”. Abu Dzar berkata lagi “ lalu apa lagi ya Rasulullah” Baginda lalu menjawab “ ke atas dirimu lazimilah membaca al-Quran”.

Al-Quran adalah kitab suci yang menjadi cahaya penerang bagi setiap hidup insan. Mukjizat kalam Allah menjadi sumber ketenangan dan kelapangan hati bagi jiwa yang mencari kekuatan hakiki. Sifat al-Quran itu sendiri menjadi cahaya bagi kalbu yang mencari pedoman dalam kehidupan. Pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW seperti diriwayatkan dari Abu Hurairah RA yang bermaksud “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabi\”.

Justeru al-Quran adalah warkah cinta yang wajib menjadi teman sepanjang hayat kehidupan. Malah setiap kalam dalam surat cinta itu perlu ditadabbur agar setiap patah perkataan difahami dan dijadikan panduan dalam menuju arah hidup yang diberkati.

Hidup yang mendapat pancaran dari cahaya al-Quran akan tersemat rasa redha, syukur dengan nikmat Allah SWT. Ini kerana mereka yang menghayati bacaan dari kalam Allah akan mengerti betapa besar nikmat Allah taala terhadap hidup insan mengatasi segala yang ada di bumi ini. Kecintaan dan kasih sayang Allah serta besarnya rahmat Allah terkandung dalam surat cinta yang diutuskan seribu empat ratus tahun lalu.

Al-Quran bukan warkah biasa yang hanya akan berlalu begitu sahaja apabila selesai dibaca. Al-Quran adalah kitab yang terkandung segala makna dan rahmat yang luar biasa. Bahkan orang yang menjauh dari al-Quran akan jauh dari rasa tenang yang didambakan oleh setiap insan.

Melazimi warkah al-Quran akan memayungi jiwa dengan rasa kebahagiaan. Al-Quran kitab kebenaran akan melembutkan hati mengenal lebih mendalam akan ilmu-ilmu Allah taala. Begitu juga hati yang gelap dan keras mampu dilentur oleh cahaya kalam al-Quran yang sentiasa menunjuk jalan kebenaran. Justeru, bagi seseorang mukmin jadilah perindu akan warkah cinta Allah yang maha benar agar setiap saat dan waktu sentiasa menjadi pendamping yang setia akan kitab suci Allah yang maha Esa.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Mac 2018
Scroll to Top