Superhero

Superhero atau adiwira  boleh didefinisikan sebagai watak fiksyen yang sinonim dengan keberanian dan kemuliaan serta sering mempunyai nama dan kostum berwarna serta kebolehan yang tidak ada pada manusia biasa. Tetapi, adakah definisi tersebut tepat bagi menggambarkan sisi sebenar seorang yang mendapat jolokan superhero ini? Persolan itu telah mendorong kepada perbincangan lanjut di dalam Usrah Nurani yang bersiaran pada hari Jumaat jam 5.15 petang di radio IKIMfm lalu tatkala mencari makna sebenar superhero dan memartabatkan kembali adiwira-adiwira sebenar yang pernah wujud tetapi tidak didendang.

Ustaz Zul Ramli M. Razali yang bertindak selaku naqib usrah merungkaikan bahawa manusia di seluruh dunia di cetak antara sedar atau tidak dengan watak-watak superhero yang tentunya punya agenda tersendiri dan akhirnya ia mendominasi pemikiran. Walaupun terkadang watak yang cuba di tonjolkan kelihatan memberi inspirasi positif dan di gambarkan keadaannya begitu sempurna serta indah, namun ia tetap suatu watak ciptaan dan tidak memberikan wajah sebenar kehidupan manusia. Mungkin ada yang berpandangan, ketika kecil saat menonton aksi-aksi serta kehebatan-kehebatan yang di tampilkan oleh superhero tidak sedikitpun menjejaskan kedewasaannya dan mereka tetap dewasa tanpa di pengaruhi watak-watak tesebut. Mereka terlupa bahawa mereka telah mensia-siakan usia emas yang paling berharga dalam hayatnya iaitu tempoh awal remaja.

Bayangkan, pada usia paling berkualiti itu jika diperkenalkan dengan superhero yang sebenar pasti natijahnya akan lahir generasi yang benar-benar hebat secara realiti dan bukan sekadar bayangan serta anganan yang tidak mampu ditejemahkan sifat dan identiti keperwiraannya. Jika sebaliknya yang dilakukan, maka akan wujud masyarakat dan umat yang benar-benar layak menyelamat dan membangunkan umat  hasil cerapan sifat manusia hebat yang sebenar dalam kehidupan dan tempoh mereka membesar.

Begitu besar pengaruh sesuatu perkara dalam membentuk identiti individu. Seperti anak kecil yang belajar berjalan. Disebabkan dalam rakaman memorinya terpapar watak manusia yang lebih dewasa daripadanya berjalan maka akhirnya setelah punya kekuatan untuk mengorak langkah anak ini akan berjalan dalam keadaan normal seperti yang tergambar dalam kotak ingatannya. Dibandingkan dengan watak kartun yang terkenal iaitu Tarzen, disebabkan dalam kotak memorinya cara berjalan adalah seperti gorilla maka salinan tersebut terjelma dalam tindakannya walau pada hakikatnya dia sepatutnya mampu berjalan seperti manusia normal.

Walaupun punya kaki yang sama tetapi jika mencerap sesuatu yang tidak dapat diimplimentasikan dan akhirnya hanya menjadi hampas yang sia-sia. Secara senyap akan lahir wira yang punya rasa rendah diri kerana hanya kelihatan hebat penampilan tetapi kelebihan yang cuba di tiru daripada adiwiranya tidak dapat disalin sepenuhnya kerana sifat-sifat itu jauh daripada kenyataan kehidupan sebenar menyebabkan diri individu tersebut beranggapan bahawa dia telah gagal menjadi wira sebenar.

Justeru, naqib dan rakan usrah di konti iaitu Puan Mazita Ahmad, Kaunselor serta Saudara Nur Ihsan Zamree pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) FELDA memperincikan watak superhero sebenar iaitu pemimpin yang unggul seperti Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad Al-Fateh. Tidak dilupakan ulama-ulama hebat antaranya Imam Al-Ghazali, Ibn Ataillah as-Sakandari, Imam Bukhari dan ramai lagi. Begitu juga keperwiraan pejuang yang pastinya meremangkan bulu roma contohnya Khalid al-Walid, Abu Ubaydah Amir ibn Abdillāh ibn al-Jaraḥ dan banyak lagi senarai nama adiwira yang benar wujud dan unggul dalam bidang masing-masing.

Resipi paling utama dalam melahirkan keperwiraan sebenar dalam diri anak-anak adalah dengan membangkitkan semangat keperwiraan tokoh-tokoh Islam dalam diri mereka. Pupuk rasa bangga kepada cendikiawan, ulama dan tokoh Islam lain kerana mereka bukan sekadar menyelamatkan manusia di dalam kesusahan sepertimana superhero rekaan barat yang sentiasa digembar-gemburkan malah mereka ini adalah penyelamat manusia di dunia dan di akhirat.

Agak malang sebenarnya, di saat pelbagai kecanggihan yang dikecapi tetapi dalam masa yang sama telah mencampak jauh pelan kecemerlangan yang sepatutnya di tanam serta dibaja subur dalam diri anak-anak umat Islam. Ibu ayah punya bermacam usaha untuk memastikan anak-anak menjadi individu yang berjaya.

Namun, makna kejayaan hanya tertumpu kepada abjad ‘A’ yang di kumpulkan dalam keputusan peperiksaan tanpa menitik beratkan ‘A’ sahsiah, peribadi, nilai kepimpinan serta ilmu yang lebih kukuh binaannya dalam membentuk seorang manusia. Manusia yang punya sifat keperwiraan yang lengkap senjata pertahanan dari dalam diri sehingga mertonjol karisma pada fizikal dan tindakannya. Hal ini perlu kepada senjata yang ampuh oleh ibubapa berupa ilmu, kasih sayang, sangka baik, akhlak terpuji dan doa dalam mempersiapkan sifat-sifat keperwiraan ini kepada anak-anak.

Oleh itu, perkara paling asas perlu di terapkan dalam diri anak-anak adalah awal pendidikan yang betul. Mulakan dengan budaya, disiplin, amalan dan nilai yang tepat dari mula mereka mengenal erti kehidupan. Selepas itu, barulah penguasaan ilmu menyusul agar ilmu yang hadir dilapik dengan asas yang benar terlebih dahulu dan mereka tidak mudah hilang arah dan tersasar walaupun punya ilmu yang memuncak. Seumpama mencetak tulisan di atas batu, walaupun sukar namun ia kekal berbekas berbanding jika di biar masa berlalu sehingga menghampiri dewasa ia umpama melakar tulisan di atas air yang pastinya akan hilang hanyut tanpa ada yang tertinggal.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Mac 2016
WhatsApp
Scroll to Top