SUARA RAKYAT MESTI DALAM BATAS PERLEMBAGAAN DAN ADAB – KP IKIM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) menegaskan bahawa kebebasan untuk berhimpun secara aman adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 10(1)(b), namun ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab moral dan adab.

Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata pihaknya mengambil maklum berhubung penganjuran demonstrasi aman baru-baru ini oleh sekumpulan rakyat Malaysia yang menyuarakan kebimbangan terhadap isu-isu semasa negara.

“Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata. Namun, dalam konteks masyarakat majmuk dan beragama seperti Malaysia, hak ini perlu disertai dengan amanah moral dan batas adab,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. 

Mohamed Azam berkata terdapat beberapa perkara yang berlaku dalam demonstrasi tersebut yang menimbulkan kegusaran, khususnya dari sudut pandangan Islam antaranya tindakan membaca Qunut Nazilah dengan menyasarkan Perdana Menteri yang menurut beliau adalah mencemari kesucian dan tujuan sebenar ibadah tersebut.

“Doa adalah ibadah agung yang harus disampaikan dengan adab, hikmah dan keikhlasan, serta bebas daripada pengaruh emosi dan kepentingan politik,” ujar beliau. 

Selain itu, IKIM turut menzahirkan kebimbangan terhadap penyebaran tuduhan berulang berkaitan liwat terhadap Perdana Menteri tanpa bukti kukuh, yang disifatkan sebagai perbuatan Qazaf, satu jenayah berat dalam Islam.

“Perbuatan menyebarkan fitnah ini bukan sekadar serangan peribadi yang menjatuhkan maruah seseorang, tetapi ia juga mencabuli prinsip keadilan yang dijunjung tinggi oleh Islam,” tegas beliau.

Tambahnya lagi, tindakan membawa patung simbolik menyerupai Perdana Menteri sedang dihukum sebat juga disifatkan sebagai satu penghinaan keterlaluan yang jelas bertentangan dengan nilai kesopanan serta tatasusila masyarakat Malaysia. 

“Perbuatan sedemikian bukan sahaja mencalar maruah peribadi individu yang disasarkan, tetapi juga melangkaui batas adab dan akhlak dalam menyuarakan perbezaan pendapat,” tambah beliau. 

IKIM dalam pada itu menyeru semua pihak agar menyuarakan pandangan secara beradab, berhemah dan mengutamakan maruah insan, bukan dengan kebencian atau penghinaan. 

“Marilah kita memperkukuh kefahaman agama, memelihara maruah sesama insan dan membina masyarakat beradab demi generasi yang beriman dan bertamadun,” ujar Mohamed Azam.

WhatsApp
Scroll to Top