SIARAN 25 JAM DARI MENARA MERDEKA 118 UKIR SEJARAH IKIMFM

Oleh: Mahathir Shaharuddin

Ketika fajar menyinsing pada 16 Januari lalu, siaran IKIMfm bergema dari puncak bangunan tertinggi negara. Dari aras tinggi Menara Merdeka 118, IKIMfm memulakan siaran khas 25 jam tanpa henti dan sekali gus mengukir sejarah baharu penyiaran radio Islami di Malaysia.

Siaran bersempena sambutan ulang tahun ke-25 IKIMfm itu bukan sekadar siaran biasa, malah menjadi simbol transformasi digital sebuah stesen radio Islami yang terus relevan dalam landskap media moden.

IKIMfm yang juga merupakan salah satu bahagian di bawah Pusat Media IKIM merupakan salah satu wadah dakwah utama dalam menyebarkan kefahaman Islam yang sebenar kepada masyarakat Islam dan bukan Islam.

Pusat Media IKIM melalui semua platform media yang ada termasuk IKIMfm merancang untuk menjadi peneraju Halal Media melalui inisiatif ” Global Halal Media Hub”

Lebih membanggakan, IKIMfm turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi pencapaian “Highest Altitude Islamic Radio Broadcast from a Skyscraper” sebagai stesen radio Islami pertama bersiaran dari bangunan pencakar langit tertinggi di negara ini.

Detik bersejarah itu turut menyaksikan kemunculan semula tiga penyampai lama yang kini bertugas di belakang tabir sebagai pengurusan IKIMfm iaitu Hj. Mahathir Shaharuddin, Hjh. Maslina Alias dan Erwan Johari yang kembali ke konti bagi memeriahkan siaran istimewa tersebut.

Siaran bermula seawal jam lima pagi dengan segmen pembukaan dikendalikan Hj. Mahathir, Hj. Faiz dan Al Muhsin. Ia disusuli azan Subuh secara langsung dari Menara Merdeka 118, Lembayung Al-Quran, sembang pagi interaktif serta Usrah Nurani bersama Ustaz Zul Ramli.

Sepanjang siang hingga malam, barisan penyampai IKIMfm seperti Siti Rohani, Hj. Ahmad Nazri, Datin Mona Jasman, Pyan, Maslina dan Batrisyia meneruskan siaran dengan pengisian interaktif pelbagai bahasa, temubual khas, bacaan surah Al-Kahfi secara langsung di TikTok serta segmen Islam Agamaku bersama Adam Corrie.

Kemuncak siaran berlangsung pada sebelah malam dengan majlis penyerahan pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Ketua Pengarah IKIM yang turut disaksikan oleh Pengarah Pusat Media IKIM serta wakil Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan PNB Merdeka Ventures.

Siaran diteruskan hingga dinihari oleh Tyzo dan Syafiq sebelum disambung Erwan Johari dan Naufal dengan segmen nasyid karaoke serta persembahan akustik sehingga menjelang Subuh.

Bagi Hj. Mahathir, yang pernah bertahun-tahun mengemudi mikrofon sebelum memikul amanah pengurusan, siaran ini adalah manifestasi kejayaan transformasi IKIMfm.

“Ia membuktikan IKIMfm bukan sekadar bertahan, tetapi berkembang dalam arus digital. IKIMfm mungkin kecil dari segi saiz, namun besar dari segi visi dan impak,” katanya.

Hjh. Maslina pula menyifatkan siaran ini sebagai detik penuh nostalgia.

“Saya masih ingat ketika IKIMfm mula bersiaran lebih dua dekad lalu dengan semangat yang tinggi walaupun kelengkapan ketika itu sangat sederhana. Hari ini, melihat IKIMfm bersiaran dari bangunan tertinggi negara dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, saya benar-benar terharu dan bangga dengan perjalanan yang telah dilalui,” katanya.

Erwan Johari menyifatkan siaran itu sebagai lambang kesinambungan generasi penyiar IKIMfm.

“Yang lama kembali ke udara, yang baharu menyambung legasi. Inilah kekuatan IKIMfm,” katanya.

Di sebalik kejayaan ini, transformasi digital IKIMfm turut diperkukuh melalui peranan Bahagian Media Baharu IKIM yang giat membangunkan kandungan audio digital berasaskan podcast bagi menembusi pasaran generasi muda dan pendengar digital.

Antara inisiatif utama ialah penghasilan beberapa siri podcast ilmiah dan inspirasi seperti Podcast Faham Isu yang mengupas isu semasa dari perspektif Islam, Podcast Ar-Rijal yang membincangkan peranan dan pembangunan lelaki Qawwam, serta Podcast Inspirasi Nasyid yang mengangkat dunia seni dakwah kontemporari.

Pendekatan ini menjadikan IKIMfm bukan sahaja sebuah stesen radio, malah sebuah platform audio digital Islami yang membolehkan pendengar mengakses kandungan pada bila-bila masa melalui telefon pintar dan platform penstriman.

Di sebalik kejayaan ini, IKIMfm turut mendapat sokongan rakan strategik seperti Permodalan Nasional Berhad dan PNB Merdeka Ventures yang membuka ruang Menara Merdeka 118 sebagai platform siaran IKIMfm, selain pasukan teknikal yang memastikan siaran berjalan lancar tanpa gangguan walaupun di ketinggian ratusan meter dari aras laut.

Tepat jam enam pagi 17 Januari, selepas 25 jam tanpa henti, Ketua Pengarah IKIM menutup siaran dengan penuh rasa syukur dan bangga.

Beliau menyatakan penghargaan terhadap kesungguhan pasukan Pusat Media IKIM dan IKIMfm yang bertungkus-lumus menjayakan misi bersejarah ini.

“Saya amat berbangga dengan semangat, komitmen dan profesionalisme pasukan Pusat Media IKIM dan IKIMfm yang bekerja tanpa mengenal penat lelah bagi memastikan siaran 25 jam ini berjalan lancar. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan semangat kebersamaan dan kesungguhan, kita mampu menjayakan misi besar demi mengangkat martabat penyiaran Islami negara,” katanya.

Siaran 25 jam dari Menara Merdeka 118 bukan sekadar mencipta sejarah, malah menjadi mesej jelas bahawa transformasi digital IKIMfm bukan retorik, sebaliknya sebuah realiti yang terus berkembang demi memperkasa penyiaran Islami dan ilmu di era digital. ‎

WhatsApp
Scroll to Top