SHEIKH Abdul Hamid Kishk, walau miliki keterbatasan penglihatan namun, tidak membataskannya terus menyebar agama melalui dakwah dan syarah mengikut caranya yang tersendiri. Sungguh memukau dan mengasyikkan. Itu kelebihan dan kehebatan seorang daie yang menyampaikan diri seseorang kepada Allah. Ikhlas, hanya punya Allah di hati tanpa mengambil kira mata-mata yang memerhati malah bibir-bibir yang memuji.
Itu hanya salah satu contoh daripada ribuan model pendakwah yang di miliki untuk di tiru dan di acu cara mereka mengikut keselesaan, asal matlamat untuk berdakwah bergerak sewajarnya. Itu antara intipati perkongsian naqid Usrah Nurani, Ustaz Zul Ramli M. Razali beserta pasangan suami isteri yang menjadi rakan usrah di konti IKIMfm Jumaat lalu iaitu Mohd Habibbullah A Rahman dan pelakon Diana Amir.
Daie adalah seorang yang mengajak kepada agama Allah iaitu setiap individu Muslim sama ada lelaki atau perempuan yang melaksanakan tugas Anbiya mengajak manusia supaya mengikut agama Allah di dalam kehidupan di atas dunia ini. Firman Allah SWT mafhumnya: “Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat yang tertentu untuk mereka ikuti dan jalankan, maka janganlah ahli-ahli syariat yang lain membantahmu dalam urusan syariaatmu; Dan ajaklah manusia kepada Tuhan kamu sesungguhnya kamu pasti berada di atas petunjuk jalan yang lurus.” (surah al-Hajj, ayat 67).
Berdakwah tidak terbatas kepada perkataan yang keluar daripada mulut semata. Ia merangkumi teks yang ditulis menerusi artikel, karangan, media sosial mahupun sekadar pesanan ringkas SMS dan aplikasi ‘chating’ di telefon pintar.
Dari Abu Hurairah bahwa RasulullahSAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang menyeru kepada kebaikan maka dia mendapatkan pahala seperti pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi pahala-pahala mereka sedikitpun. Dan barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan maka baginya dosa seperti dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa-dosa mereka sedikit pun”. (Riwayat Muslim).
Seorang daie wajib mempunyai kefahaman yang terperinci dan menyeluruh kepada perkara yang ingin didakwahkan iaitu perkara-perkara yang menyeru manusia kepada Pencipta. Justeru, sampaikanlah sebaik dan semampunya sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra.: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan saranan supaya menyampaikan ilmu tidak kira banyak atau sedikit, asalkan ia ilmu dari Al-Quran dan Sunnah. Dalam ertikata lain, jangan ditahan dan disimpan ilmu sehingga mencapai tahap atau maqam tertentu, baru ilmu itu hendak di kongsikan. Itu bukan syarat, namun perlu di ingat supaya berhati-hati dalam menyampaikan ilmu. Oleh itu, sanggat penting bagi setiap individu memiliki keinginan yang kuat untuk menuntut ilmu kerana hanya dengan ilmu dapat memastikan setiap yang di panjangkan adalah benar dan akhirnya menjadi bekal ilmu yang bermanfaat buatnya.
Sungguh kata Ulama, “Seseorang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikannya kepada orang lain.”. Maka tuntutlah ilmu setuntasnya dan kemudiannya ambil peluang menjalankan sunnah terbesar Rasulullah SAW iaitu berdakwah.
Islam hadir dengan perjuangan bersulam tohmahan dan cacian kerana itu resam ulama terdahulu yang membawa warisan para Rasul dan Nabi iaitu mengenalkan Allah pada manusia. Atas usaha para ulama yang tidak pernah jemu melayan kerenah, tanpa jenuh menyua ilmu sehingga akhirnya Islam tersebar seperti yang dapat di lihat hari ini. Maka, hormati para ulama kerana mereka pewaris nabi sebagaimana sabda Nabi SAW mafhumnya: “Ulama adalah pewaris para nabi.” (Riwayat At-Tirmidzi dari Abu Ad-Darda).
Sebarkanlah agama Islam kepada semua. Terkadang ada di antara umat hari ini sudah cukup berpuas hati dengan menjadi ‘pengguna Islam’ yang baik. Namun, hanya menggunakan Islam dalam lingkungan dirinya sendiri sahaja. Dirinya lengkap dengan segala amal ibadah wajib dan sunat dan hanya membawa manfaat untuk dirinya semata. Orentasi ini perlu di pecah dan di ubah. Usah mementingkan diri sendiri kerana Allah jadikan Islam untuk semua. Maka kenalkanlah rasa nikmat dan indahnya Islam itu pada semua dengan berdakwah.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Ogos 2016