KUALA LUMPUR, 31 Okt (IKIM) – Kerajaan menegaskan bahawa semua badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari Amerika Syarikat (AS), tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur keselamatan, syariah, kebersihan dan standard Sistem Pensijilan Halal Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar tiada sebarang kelonggaran diberikan kepada mana-mana badan pensijilan yang ingin mengekalkan pengiktirafan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan mereka wajib mematuhi semua keperluan yang ditetapkan tanpa pengecualian.
Beliau berkata Perkara 2.5 dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf JAKIM bagi tujuan pentadbiran, namun segala proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir tetap di bawah kawalan JAKIM.
“Bagi loji sembelihan yang menghasilkan produk daging dan ayam untuk dieksport ke Malaysia, kelulusan halal hanya diberikan selepas melalui pengauditan berpandukan Malaysian Standard dan The Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan, audit itu mesti dilaksanakan dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai syariah daripada badan pensijilan yang diiktiraf, dan laporan audit berkenaan perlu diperakukan oleh jawatankuasa dilantik JAKIM.
Mohd Na’im menegaskan, Malaysia tidak pernah berkompromi terhadap Standard Halal Malaysia, malah pengiktirafan terhadap sijil halal dari AS tidak bermaksud ada kelonggaran kepada standard sedia ada.
Sebaliknya, beliau berkata ia hanya bertujuan mempercepat urusan pentadbiran bagi memperkukuh hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.
Semua produk import tetap tertakluk kepada audit JAKIM, pemantauan berkala serta peruntukan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menjamin integriti dan ketelusan sistem halal negara.
“Dakwaan kononnya Malaysia berkompromi terhadap standard halal negara adalah tidak benar dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang telah diiktiraf di peringkat antarabangsa,” tegas beliau.
Beliau turut menambah bahawa sebarang pengiktirafan terhadap badan pensijilan halal luar negara hanya diberikan selepas melalui proses audit menyeluruh berdasarkan pematuhan sepenuhnya kepada Standard Halal Malaysia.
“Semua perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Malaysia tertakluk kepada undang-undang domestik. Sebarang penambahbaikan hanya dibuat bagi mempercepat proses pentadbiran tanpa menjejaskan prinsip dan ketegasan piawaian halal negara,” jelas beliau.
Mohd Na’im turut menegaskan bahawa komitmen Malaysia di bawah mana-mana perjanjian antarabangsa hanya berkuat kuasa selepas diterjemahkan dalam undang-undang negara, selaras dengan prinsip dualist system, bagi memastikan urusan perdagangan berjalan lancar tanpa mengorbankan prinsip syariah dan piawaian halal Malaysia.








