SEMINAR BIOETIKA KEBANGSAAN 2024

KUALA LUMPUR, 30 September (IKIM) – Seminar Bioetika Peringkat Kebangsaan 2024 yang julung kali diadakan telah berlangsung dengan jayanya di Mövenpick Hotel and Convention Centre, Sepang pada Khamis lalu (26 September). Acara yang dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) ini bertujuan memperkasa etika dalam penyelidikan saintifik di Malaysia.

Dr Shaikh Mohd Saifuddeen bin Shaikh Mohd Salleh, Pengarah Penyelidikan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), telah diundang sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi yang membincangkan tajuk penting, “Pemerkasaan Etika Penyelidikan di Malaysia”. Beliau turut disertai oleh Dr Salina binti Abdul Aziz, Ahli Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); dan Profesor Madya Dr Azlan bin Husin, Pengerusi Jawatankuasa Etika Penyelidikan (Manusia), Universiti Sains Malaysia (USM).

YBhg Profesor Datuk Wira Dr Raha binti Abdul Rahim, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) turut diundang selaku moderator bagi sesi tersebut. Para panelis membincangkan cabaran dan peluang dalam mengukuhkan prinsip etika dalam penyelidikan di Malaysia, dengan menekankan keperluan kolaborasi antara institusi penyelidikan, kerajaan, dan badan-badan berkaitan bagi memastikan penyelidikan saintifik di negara ini mematuhi standard etika tertinggi.

Seminar ini diharapkan menjadi platform penting bagi merangka langkah-langkah efektif untuk memajukan etika penyelidikan dalam pelbagai bidang sains dan teknologi di Malaysia.

Scroll to Top