SEPANG, 30 Okt (IKIM) – Bakal jemaah haji diingatkan supaya membuat semakan dengan Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum menerima sebarang tawaran menunaikan ibadah haji bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan bahawa tiada individu atau syarikat dibenarkan mengendalikan urusan haji tanpa kebenaran rasmi daripada TH, seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
“Saya merayu kepada mereka yang berhasrat menunaikan haji pada tahun akan datang untuk membuat semakan terlebih dahulu. Tidak salah mengambil masa sedikit untuk bertanya dan mendapatkan pengesahan. Akhirnya, kita dapat elak daripada ditipu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Musim Haji 1447H/2026M di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pelbagai peringatan telah dikeluarkan, masih ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan menipu orang ramai melalui tawaran haji tidak sah.
Menurutnya, TH akan terus menyalurkan nasihat serta peringatan kepada masyarakat melalui pelbagai saluran termasuk media sosial, dan beliau berharap media turut membantu menyebarkan maklumat bagi mengelak jemaah menjadi mangsa.
Dalam pada itu, Mohd Na’im memaklumkan bahawa satu jawatankuasa khas diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah ditubuhkan bagi memperkukuh usaha membanteras aktiviti penipuan berkaitan haji. Jawatankuasa itu turut dianggotai oleh TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Jawatankuasa khas ini akan memastikan mana-mana syarikat atau individu yang cuba melakukan penipuan akan dikenakan tindakan sewajarnya,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan memandang serius isu penipuan haji dan sedang meneliti langkah memperketat denda serta hukuman terhadap syarikat atau individu yang terlibat.

“Pendekatan ini termasuk memastikan denda yang dikenakan kepada syarikat tidak bertanggungjawab lebih tinggi, namun pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan mahkamah,” jelas beliau.
Pada majlis tersebut, Mohd Na’im menyampaikan lesen PJH Musim Haji 1447H kepada 31 daripada 60 syarikat yang memohon, dan menyeru semua pengelola menawarkan pakej haji ekonomi dengan harga sama seperti musim lalu, iaitu di bawah RM55,000.
Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim haji 1447H/2026M telah mula dikeluarkan secara berperingkat mulai 24 Oktober 2025 dan permohonan rayuan haji akan dibuka bermula pada 3 November 2025. Bakal haji boleh menyemak status tawaran dan membuat permohonan rayuan melalui platform aplikasi atau laman sesawang THiJARI.




