SELESAIKAN KONFLIK KEKELUARGAAN DENGAN KASIH SAYANG – KETUA HAKIM SYARIE

KUALA LUMPUR, 15 Oktober (IKIM) – Konflik kekeluargaan harus ditangani sebaik mungin antara pihak yang bertelingkah terutama apabila menyentuh aspek pengabaian tehadap keperluan dan kebajikan anak-anak. 

Ketua Hakim Syarie Malaysia yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), YAA Dato’ Haji Mohd Amran Haji Mat Zain berkata sekiranya pertikaian tidak diselesaikan dengan segera dan dalam keadaan baik, ia boleh membantutkan proses pembesaran anak-anak yang memerlukan kasih sayang daripada ibu ayah. 

“Pengalaman JSKM dalam pengendalian kes dan sekiranya anak-anak yang terperangkap dalam kemelut masalah rumahtangga ibubapanya akan memberi kesan langsung kepada anak-anak terutama aspek pendidikan dan nafkah-nafkah yang berkaitan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan Analisis IKIMfm pagi tadi bersama DJ Pyan dan Tyzo Xender.

Tambah beliau penting kepada ibu bapa untuk tahu tentang ilmu keibubapaan dan sekiranya ada masalah, anak-anak tidak patut menjadi mangsa kepada masalah tersebut dan ibubapa perlu sedar akan hak anak dan keperluan anak-anak perlu menjadi keutamaan. Sekiranya mereka gagal memberi hak kepada anak-anak ini, anak-anak akan dizalimi oleh pertikaian antara dua pihak yang dia kasihi. 

Dari aspek psikologi, apabila kanak-kanak ini terperangkap dalam kancah pertikaian dan dimomokkan dengan perkara negatif oleh kedua-dua pasangan ibu bapa, dibimbangi akan lahir satu generasi yang akhirnya akan cemburu kepada kebahagiaan orang lain. 

Dalam wawancara tersebut, beliau turut berkata mahkamah syariah perlu dilihat sebagai tempat untuk merapatkan jurang perbezaan dan mewujudkan suasana kasih sayang dan bukan sebagai tempat yang menyemarakkan lagi permusuhan yang tidak sepatutnya. 

Scroll to Top