Sehati Sejiwa – Bahagian Dua

HIDAYAH dan taufik daripada ALLAH SWT memberikan peluang dan ruang untuk manusia mengecapi keharmonian kemerdekaan yang telah dicapai. Pada tahun ini, genap 59 tahun Malaysia merdeka. Jika seorang manusia, berusia 59 tahun, bukan satu usia yang muda. Pada usia ini, sewajarnya manusia itu telah memiliki kematangan tertentu untuk mengemudi hidupnya. Begitu juga bagi sebuah negara, pada usia kemerdekaan itu, sepatutnya segala perkara yang berlaku dalam negara ini, boleh ditangani dengan kematangan tertentu. Kemerdekaan bermaksud pembebasan daripada penjajahan. Ini bermakna, negara ini bebas menentukan apa yang penting baginya, dari sudut ekonomi, sosial mahupun politik. Dalam masa yang sama, kemerdekaan yang dicapai ini juga bermaksud bahawa kemerdekaan itu perlu dikekalkan. Inilah tanggungjawab warga merdeka.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi bersiaran menerusi rancangan ‘Islam Itu Indah’ di IKIMfm pada hari Rabu yang lalu menyambung bicara topik ‘Sehati Sejiwa’. Iman dan tauhid dalam bentuk penghayatan akan meresap dalam jiwa supaya mengenali dan sayangkan ALLAH SWT. Seruan kepada iman mesti mendahului seruan kepada perpaduan supaya gagasan terhadap iman akan menegakkan perpaduan. Pendekatan yang dilaksanakan itu juga menjadikan dunia ini sebagai alat untuk sampai ke akhirat dengan selamat pada masa yang sama membentuk hati manusia bersatu-padu dengan hati-hati yang lain. Perpaduan berasaskan iman merupakan satu institusi yang bergerak memperjuangkan negara Islam dari sebarang ancaman musuh-musuh Islam. Oleh itu, perpaduan sehati sejiwa diperlukan untuk membina individu, keluarga, masyarakat, pemerintahan dan perlaksanaan undang-undang Islam.

Syarat kepada kewujudan negara maju yang merdeka mesti disemai dengan kebaikan dari manusia yang dibentuk melalui akidah dan iman mereka. Allah SWT berfirman melalui surah Ali ‘Imran ayat 110 yang bermaksud, “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”. Pengajaran dari ayat ini menyeru kepada manusia yang beriman kearah perpaduan menuju kepada kebaikan. Jika tiada iman maka konsep bersatu-padu akan beralih kearah kejahatan dan kerosakan. Bagi seorang muslim, nikmat iman dalam kemerdekaan seharusnya disyukuri. Kebebasan ini bukan sahaja memberi lesen untuk menentukan corak hidup tetapi lebih penting adalah membebaskan diri dan pemikiran daripada kemusyrikkan kepada Allah SWT dan sifat-sifat jahiliyah.

Perpaduan yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah bukanlah suatu teori, formula atau realiti yang kosong, malah ianya telah ditegakkan dengan sejak dahulu lagi. Perpaduan yang berasaskan tauhid dan syahadah (Iman) lebih tinggi nilainya dalam Islam daripada perpaduan pertalian darah (Saudara). Hal ini dapat dilihat melalui kisah kehidupan para sahabat Rasulullah SAW dimana ketika perang badar, Saidina Abu Bakar As Siddiq yang berada di pihak Islam berperang bersama anaknya di barisan musuh, tidak mahu untuk bertemu serta mengelak untuk bertembung diantara sesama sendiri. Anaknya juga tidak mahu untuk mencederakan Saidina Abu Bakar As-Siddiq apatah lagi berkeinginan untuk membunuh ayahnya itu. Namun sebaliknya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq berkata jika anaknya merupakan musuh kepada Islam maka beliau akan tetap menentang kerana Islam itu lebih tinggi darjat daripada ikatan darah persaudaraan.

Unsur-unsur yang memberikan kebaikan terhadap kehidupan sehati sejiwa, boleh dimulakan dengan kaedah lain seperti sukan, hiburan, peningkatan ekonomi, pemberian kuasa dan beberapa cara lain yang menjanjikan perpaduan dan semangat kerjasama. Kaedah itu juga merupakan elemen tambahan kepada keimanan. Namun jika kaedah itu tidak dimulakan dengan hati yang berpegang teguh terhadap keimanan, ianya akan nampak seperti bersatu-patu tetapi tidak mempunyai asas dan sandaran. Situasi ini dapat dilihat melalui firman ALLAH SWT dalam surah Al-Hashr ayat 14 yang bermaksud, “(Orang-orang Yahudi dan orang-orang munafik) dengan keadaan bersatu padu sekalipun, tidak berani memerangi kamu melainkan di kampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. (Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka).

Kemerdekaan dalam Islam membawa erti kesejahteraan, kedamaian dan keamanan. Hakikatnya, kesemua makna ini menjurus kepada maksud kemerdekaan yang kita fahami kini. Kemerdekaan dari segi istilah merupakan pembebasan dari penjahahan kuasa yang mencengkam negara mengikut kehendak mereka. Apabila mendapat kemerdekaan maka ketika itulah setiap pentadbiran negara, urusan politik dan pembangunan ekonomi diuruskan mengikut acuan tersendiri dalam membina sebuah institusi berdaulat. Walaupun perkara yang dikecapi itu telah membawa negara ini kepada pembebasan sepenuhnya daripada penjajah, namun kemerdekaan yang sebenarnya ialah emosi, perasaan dan pemikiran adalah tunduk patuh kepada ALLAH SWT yang merupakan kemerdekaan nyata melalui jiwa manusia.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 7 September 2016
\"7

WhatsApp
Scroll to Top