GOMBAK, 25 Mac (IKIM) – Mencapai sedekad penganjurannya, World #QuranHour terus konsisten untuk menyebarluaskan agama Islam keseluruh dunia sehingga menjadi satu gerakan global pada hari ini.
Menerusi pelbagai kempen termasuk serta usaha rakan media selama 10 tahun, #QuranHour telah berjaya mencapai keseluruhan 7.72 bilion capaian di media sosial.
Pada tahun ini, sebanyak 1370 lokasi di seluruh negara, serta 25 lokasi di 19 negara telah berdaftar bagi penganjuran World #QuranHour.

Bertemakan #SavingtheUmmah, Surah Al-Saff dipilih sebagai surah utama yang menekankan kepentingan kesatuan ummah dalam memperjuangkan agama Islam.
Hal ini kerana surah ini membincangkan dua mesej penting iaitu ‘bunyanun marsus’ yang bererti satu saf yang tersusun kukuh dan ‘hawariyyun’ iaitu para pembantu agama Allah (Islam).
Golongan Hawariyyun merujuk kepada pengikut nabi Isa yang terkenal dengan nilai kehambaan yang tinggi hasil dari amalan tasbih, integriti, konsisten serta berakhlak mulia.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff dalam kenyataan media berkata, “Surah Al-Saff memberikan pedoman agar umat Islam terus bersatu, berjihad dengan harta dan jiwa serta membentuk barisan yang teguh mempertahankan kebenaran.”
Oleh itu umat Islam diharapkan untuk terus bekerjasama berganding bahu untuk menyebarkan mesej Islam dan dakwah ke seluruh dunia dengan strategi yang baik di samping bersabar dengan ujian yang melanda usaha dakwah.
Program hari ini menyaksikan surah Al-Saff dialunkan secara berjemaah oleh barisan qari, serta ditadabbur bersama oleh para hadirin.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj turut sudi mencemar duli menghadiri majlis hari ini bersama isteri Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar; dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Program anjuran WUIF dilaksanakan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada jam 12 hingga 1 tengah hari tadi.

Majlis ini turut disokong oleh Astro Oasis selaku penyiar rasmi bersama-sama rakan media lain termasuk Bernama TV, Sinar Harian serta tvIKIM.
Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz