KEMATIAN merupakan satu perjalanan menuju destinasi dan tidak akan kembali, oleh itu wajarlah kita bermuhasabah sebelum menghadapinya. Orang yang cerdik akan sentiasa bermuhasabah, mengkaji dan meneliti perjalanan hidupnya agar apabila tiba saat kembali menghadap Allah SWT, tidak akan timbul penyesalan dan perasaan takut serta bimbang terhadap amalan yang dilakukan sewaktu hidup di dunia. Rasulullah SAW sentiasa berpesan agar kita banyak melakukan muhasabah sebelum dimuhasabahkan di hadapan Allah nanti.
Perkongsian bersama Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati di IKIMfm pada Khamis lalu, jam 5.15 petang, ada tiga perkara yang perlu dimuhasabahkan sepanjang hidup kita. Perkara pertama ialah aqidah atau keyakinan di dalam kehidupan, kerana apabila berada di dalam kubur nanti ia adalah antara soalan yang akan diajukan oleh malaikat kepada kita. Ia juga menjadi petanda sama ada syahadah yang diucapkan adalah selari dengan amalan yang kita kerjakan di sepanjang kehidupan sebagai seorang mukmin. Harus sentiasa berhati-hati agar akidah tidak terpesong dengan fahaman yang menyongsang mahupun dicalari dengan perbuatan syirik kepada Allah SWT. Jauhkan diri daripada fahaman yang melanda masyarakat kini, sebagai contoh liberalisme, sekularisme, syiah dan lain-lain kerana Islam melarang percampuran fahaman ini yang mendorong kepada kesyirikan. Di dalam solat juga kita memohon agar Allah membimbing kita ke jalan yang lurus, kerana kehidupan ini dipenuhi dengan jalan-jalan yang bercampur baur yang akhirnya akan merosakkan pegangan dan akidah kita. Pegangan yang rosak ini akan menyebabkan ramai umat manusia merasa kecewa bila tiba waktu kembali menghadap Allah.
Perkara kedua yang menuntut agar kita bermuhasabah ialah amalan terhadap ibadah. Ibadah solat perlu dijaga melebihi daripada diri kita sendiri, dalam erti lain ibadah ini sentiasa diberi keutamaan di dalam kehidupan. Rasulullah mengingatkan kepada kita: “Solat ini adalah asas kepada agama, kalau kamu ingin melihat tegaknya agama pada diri kamu, lihatlah kepada solatmu. Barangsiapa yang cuai terhadap solat, dia sudah meruntuhkan agamanya.” Solat juga merupakan soalan pertama yang akan ditanya di hadapan Allah pada hari akhirat nanti. Tidak ada sebarang kelonggaran terhadap amalan solat walaupun berada di dalam kesakitan dengan apa cara sekalipun sama ada di dalam posisi duduk atau berbaring, juga di dalam situasi peperangan, kecuali wanita yang berada di dalam keuzuran (haid atau nifas).
Selain itu ibadah puasa perlu dijaga dengan baik iaitu mengerjakannya pada bulan Ramadan (wajib) dan puasa sunat. Di dalam amal ibadah juga perlu menjaga amalan jihad di jalan Allah iaitu pengorbanan yang dilakukan untuk membuktikan ketaatan kita terhadap-Nya kerana ibadah ini amat membantu ketika berada di dalam kubur kelak. Ibadah lain yang perlu diberi perhatian ialah memperbanyakkan amalan sedekah dan pada masa yang sama melunaskan hutang-hutang yang menjadi kewajipan ke atas diri kita. Sebagai seorang mukmin, kita seharusnya sedar bahawa harta yang dimiliki di sepanjang kehidupan ini bukanlah milik kita sepenuhnya, sebaliknya dimiliki oleh Allah SWT. Para ulama berpendapat, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada harta yang dimiliki, dipergunakan untuk agama Allah iaitu sama ada membiayai rumah-rumah anak yatim, membantu membangunkan masjid dan lain-lain.
Sewaktu hidup juga bermuhasabahlah terhadap amalan kebaikan yang dilakukan di disepanjang kehidupan yang menjadi ikutan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan satu amalan yang baik, baginya pahala terhadap amalan itu dan pahala daripada orang yang mengerjakan selepas kematiannya, tanpa Allah mengurangkan sedikit pun pahala-pahala orang yang mengerjakan amalan itu.” Misalannya ilmu yang diajarkan kepada seorang guru akan sentiasa berkembang dan diberikan pahala oleh Allah selagi ia memberi manfaat sehinggalah tibanya hari akhirat kelak. Tetapi sebaliknya apabila seseorang itu melakukan amalan buruk dan kemudian diikuti oleh orang lain, dosa mereka itu akan turut ditanggung walaupun selepas kematiannya. Oleh itu berhati-hatilah dengan dosa yang dilakukan pada masa kini yang melibatkan jari-jemari yang menaip status dan komen-komen negatif di media sosial, kerana mereka yang memulakan komen buruk ini, dosanya akan bertimbun selagi tidak memohon maaf daripada orang yang difitnah.
Perkara ketiga yang perlu dijaga ialah akhlak yang menjadi bekalan dan persiapan yang akan berterusan menyumbangkan pahala kepada diri kita selepas menghadapi kematian. Di antaranya ialah melalui anak-anak yang salih yang sentiasa diingatkan dengan kebesaran Allah SWT. Walaupun tidak dikurniakan anak sekalipun, Allah memberi peluang ini melalui anak-anak saudara, anak susuan atau anak angkat. Sesungguhnya kita amat memerlukan doa daripada anak-anak yang salih ini. Daripada Abu Hurairah RA, menceritakan pernah pada suatu ketika Rasulullah SAW bersabda bahawa sesungguhnya Allah telah mengangkat darjat seorang hamba yang salih di syurga. Lalu dia bertanya kepada Allah, daripada manakah dia mendapat keistimewaan sehingga di masukkan ke dalam syurga. Allah menjawab: “Daripada istighfar yang diucapkan oleh anak kamu untuk dirimu. Anak-anak kamu rajin berdoa dan memohon keampunan kepadamu yang menyebabkan terangkatnya dosa-dosa kamu sehinggakan kamu dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT.”
Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas disebut di dalam sebuah kitab yang menceritakan Rasulullah SAW bersabda; “Umatku adalah umat yang disayangi. Mereka masuk ke dalam kubur di dalam keadaan mereka penuh dengan dosa dan keluar daripadanya dengan keadaan yang bersih daripada dosa. Yang demikian itu adalah disebabkan oleh doa-doa atau istighfar daripada mukmin yang hidup untuk mereka yang sudah meninggal dunia.” Oleh itu sebelum kembali menghadap Allah, pastikan kita memelihara akhlak dengan orang yang hidup yang terdiri daripada anak-anak kita, jiran tetangga atau mereka yang rapat dengan diri kita.
Daripada Anas Ibnu Malik RA, Rasulullah SAW menyebut tentang tujuh perkara yang akan menyebabkan pahala akan sentiasa mengalir bagi seorang hamba setelah kematiannya. Pertama ialah orang yang mengajar ilmu kepada orang lain, kedua, orang yang mengalirkan sungai untuk kegunaan orang lain. Ketiga, orang yang membuat telaga dan mewakafkannya. Keempat ialah orang yang menanam pokok buah-buahan dan mewakafkan hasil tanamannya, kelima, orang yang berinfaq untuk membangunkan masjid. Keenam, orang yang mewakafkan kitab al-Quran dan akhirnya ialah mereka yang meninggalkan anak-anak yang memohon keampunan bagi dirinya setelah kematiannya.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 Mac 2016