Sayyidina Rabiah bin Ka’ab

ALANGKAH indahnya hidup kita sekiranya dapat berdampingan dengan Rasulullah SAW di dalam syurga. Pastinya ini sentiasa menjadi impain dan harapan seluruh mukmin. Namun harus kita muhasabah kembali adakah kita benar-benar layak untuk bersama dengan Baginda nanti. Ustaz Mohd Hazri Hasyim al-Bindany menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm mengajak kita hayati satu kisah para sahabat yang benar-benar mengimpikan untuk menjadi teman Rasulullah SAW di dalam syurga.
Ustaz berkongsi, sahabat ini merupakan seorang yang menekuni ibadah kerana mengharapkan dapat menjadi teman Rasulullah SAW di dalam syurga. Namanya ialah Sayyidina Rabiah bin Ka’ab RA. Ketika Islam mula tersebar di kota Madinah, beliau masih kecil lagi usianya. Islam itu telah meresap masuk ke dalam kalbunya sehinggalah beliau merasai nikmat keimanan. Tatkala matanya kali pertama melihat Baginda Rasulullah SAW ketika peristiwa hijrah Baginda, Rabiah berkata “Aku langsung jatuh hati pada Rasulullah SAW. Aku amat mencintai dan merinduinya sehinggakan ke mana sahaja Baginda pergi, aku pasti akan cuba sedaya upayaku untuk mengikut Baginda”.
Satu hari kata Rabiah kepada dirinya “Wahai Rabiah, mengapa engkau tidak menghadiahkan dirimu untuk Rasulullah SAW sebagai orang yang berkhidmat kepada Baginda. Serahkanlah dirimu kepada Baginda dan sekiranya Baginda meredhai engkau, maka berbahagialah engkau kerana dapat mendekati Baginda SAW. Bahkan meraih cinta Rasulullah SAW. Engkau akan meraih kebaikan dunia mahupun akhirat”.
Tidak lama sesudah itu, beliau bertemu dengan Rasulullah SAW untuk menawarkan dirinya menjadi pembantu Rasulullah SAW. Maka Baginda tidak menghampakan harapan Rabiah. Inilah antara sunnah Rasulullah SAW. Baginda sentiasa menunaikan harapan dan permintaan orang lain. Rabiah pun diterima menjadi pembantu Rasulullah SAW. Semenjak itu kata Rabiah “aku sentiasa melazimi Rasulullah SAW seumpama bayang-bayang yang melazimi tuannya”.  Ke mana jua Baginda pergi, pasti Rabiah akan mengikutinya.
Rabiah berkhidmat kepada Rasulullah SAW setiap hari. Apabila malam berlabuh dan selesai Rasulullah SAW mengerjakan solat Isyak, maka Rabiah pun mahu pulang ke rumahnya. Saat itu, terdetik di hatinya, sekiranya beliau pulang dan Rasulullah SAW bangun di tengah malam dan berhajatkan kepada sesuatu, maka siapakah yang akan menyempurnakan permintaan Rasulullah SAW. Memikirkan perkara itu, Rabiah terus setia menunggu dan tekun berada di hadapan pintu rmah Rasulullah SAW, bahkan menjadikan bendul rumah Baginda sebagai bantal bagiku. Baginda selalu sembahyang malam. Telah menjadi adat kepada Baginda SAW, sesiapa sahaja yang melakukan kebaikan kepada Baginda, Baginda akan membalas kebaikan yang dilakukan oleh orang tersebut. Inilah sunnah Baginda Rasulullah SAW.
Disebabkan Rabiah sudah lama berkhidmat dan berbakti kepada Rasulullah SAW, Baginda ingin membalas kebaikan Rabiah itu. Pada satu hari, Baginda memanggilnya “Wahai Rabiah”. Maka Rabiah bersegera datang kepada Rasulullah SAW. Maka Baginda berkata “Mintalah sesuatu kepada ku dan hari ini akan aku berikan kepadamu”. Rabiah kemudian membalas “Tidak pernah terlintas di hatiku Ya Rasulallah untuk meminta sesuatu daripada mu”. Kemudian Baginda menyuruh Rabiah berfikir dahulu dan kembali semula sekiranya ada permintaan.
Rabiah bercerita lagi pada ketika itu, dia merupakan seorang anak muda yang fakir dan tidak mempunyai apa-apa. Beliau kemudian berfikir-fikir untuk meminta sesuatu kebaikan daripada kebaikan dunia agar beliau keluar daripada kemiskinan. Saat Rabiah melangkah menuju ke rumah Baginda, hatinya berbicara “Wahai Rabiah, kenapakah perlu kamu meminta kebaikan kehidupan dunia yang tidak kekal, sedangkan Rasulullah SAW mempunyai kedudukan yang sangat besar di sisi Allah SWT.  Andai kata kamu meminta kepadanya kebaikan akhirat, pasti Allah akan tunaikan dan kabulkan permintaan kamu. Pada ketika Rabiah berasa tenang kerana tahu apakah yang mahu diminta kepada Rasulullah SAW. Kakinya melangkah laju. Tatkala melihat Rabiah, Rasulullah SAW tersenyum lantas berkata “Sekarang, apa yang kamu ingin minta wahai Rabiah?”. Rabiah kemudian menjawab tanpa bertangguh “Ya Rasulallah, aku meminta kepadamu untuk berdoa kepada Allah SWT agar Allah menjadikan aku sebagai teman baikmu di dalam Syurga”.
Maka Rasulullah SAW terkejut dengan permintaan itu lalu Baginda bertanya “Siapa yang menasihatimu untuk meminta sebegini?” Rabiah mengatakan “Tiada sesiapa”. Rasulullah bertanya lagi “Tidakkah kamu mahu menukar kepada permintaan yang lain”? kata Rabiah “Tidak Ya Rasulallah”. Rasulullah SAW kemudian berkata “Jika begitu wahai Rabiah, bantulah aku dengan kamu memperbanyakkan sujud”.
Maka dengan sebab inilah, sekiranya kita teliti daripada kehidupan orang-orang soleh mereka memperbanyakkan sujud dengan banyaknya solat mereka. Disebutkan oleh anak Imam Ahmad ibn Hanbal, bahawa Imam Ahmad solat malam sehingga 300 rakaat. Ini kerana beliau ingin memperbanyakkan sujud dan mahu menjadi teman Rasulullah SAW di dalam syurga. Semenjak daripada itu, Rabiah sangat menekuni seluruh ibadah bukan semata-mata solat agar beliau dapat mengecapi cita-cita untuk bersama dengan Rasulullah SAW di dalam syurga.
Beginilah kisah para sahabat yang seluruh hidupnya diberikan untuk berkhidmat kepada kekasih Allah SWT, Rasulullah SAW. Semoga kasih dan cinta kita kepada Rasulullah SAW yang kita lafazkan, dapat kita ungkaplan dengan perbuatan dan amalan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Mac 2017
\"\"
WhatsApp
Scroll to Top