Sayyidatina Fatimah Az-Zahra r.ha (Bhgn 2)

BANYAK teladan dan pengajaran bagaimana kasih sayang Baginda Nabi SAW terhadap puterinya serta ahli keluarganya. Menerusi segmen Hayatus Sahabah, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany menyambung kisah mengenai Sayyidatina Fatimah r.ha.

Keberangkatan suami Fatimah az-Zahra, Saidina Ali r.a ke medan perang membuatkan Sayyidatina Fatimah tinggal bersama putera-puteranya. Maka di saat itulah Baginda Nabi SAW sentiasa menemani Fatimah. Telah menjadi adat kebiasaan, Baginda Nabi SAW menyayangi anak-anak Fatimah, bergurau serta menjaga mereka. Bahkan terdapat riwayat menyebut Rasulullah SAW melayani mereka tatkala cucunya naik ke atas belakang Bagind saat Baginda sedang menunaikan solat.

Telah menjadi kebiasaan juga Rasulullah SAW pergi ke rumah Fatimah dan bermalam di rumah beliau, terutamanya menemani Fatimah ketika Saidina Ali keluar berjihad di jalan Allah SWT. Pada satu malam, Rasulullah SAW mendengar Saidina Hasan meminta air. Maka Baginda bangun daripada tidurnya dan mengambil air lalu dituangkan untuk diberikan kepada Hasan. Tiba-tiba Saidina Husin pula menghulurkan tangannya untuk mengambil bekas air tersebut. Maka, Rasulullah SAW menegah Husin mengambilnya walaupun beliau masih kecil. Pada ketika itu, Sayyidatina Fatimah yang melihat perbuatan ayahnya itu merasakan seolah-olah Baginda lebih mengutamakan Saidina Hasan. Maka kata Fatimah “seolah-olah Hasan itu lebih engkau sukai dan engkau cintai Ya Rasulallah”. Kemudian Baginda berkata “sesungguhnya, Hasan dahulu yang minta air.” Baginda bukan menyayangi Hasan berbanding Husin tetapi lebih mengutamakan hak yang mana dahulu meminta. Jelas terbukti semenjak awal Baginda telah mendidik dan mengasuh dengan keadilan kepada anak kecil yang mana nilai-nilai keadilan dan hak ini telah banyak pudar dan luput daripada umat ini kerana kita tidak mengambil berat. Rasulullah SAW tidak sesekali memandang remeh pada hal-hal yang sedemikian kerana memandang remeh kepada perkara kebaikan itu akhirnya akan meluputkan peluang untuk kita mendapatkan kebaikan dan akhirnya hilang keberkatan daripada kehidupan kita.

Pernah satu ketika Rasulullah SAW datang kepada Fatimah dan melihat puterinya itu sedang bekerja keras mengisar gandum. Pada ketika itu, terbitlah kata-kata daripada puterinya itu seolah-olah meminta belas kasihan daripada Rasulullah SAW agar Baginda maklumkan kepada Saidina Ali untuk menyediakan seorang pembantu kepada beliau. Sebagai seorang dewasa, yang sangat menyayangi anaknya dan dalam masa yang sama juga menjaga maruah menantunya, maka Baginda telah mengajarkan kepada Sayyidatina Fatimah satu zikir. Zikir yang mana tatkala beliau melafazkannya, beliau akan mendapat lebih daripada dunia dan seisinya serta beliau tidak akan keletihan dalam kerja-kerja hariannya. Inilah yang dikatakan tasbih, tahmid dan takbir Fatimah az-Zahra. Baginda telah mengajar kepada puterinya itu suatu yang lebih baik daripada khidmat seorang pembantu. Saat ada seorang pembantu, maka khidmat seorang isteri kepada suaminya akan berkurangan. Maka, pada ketika itu juga kuranglah pahala kepada isteri tersebut. Maka, Baginda memujuk puterinya itu dan mengatakan “akan ku ajarkan kepadamu ucapan-ucapan yang mana apabila engkau mengucapkannya engkau akan mendapat pahal yang banyak serta akan rasa hilang keletihan dan redalah rasa beratnya pada dirimu ketika melaksanakan kerja-kerja.” Baginda kemudian mengajarkan agar Fatimah Az-Zahra mengucapkan “Subhanallah (33 kali), Alhamdulillah (33 kali) dan Allahuakbar (34 kali) supaya diucapkan setiap malam sebelum tidur.” Semenjak dari hari itu, Sayyidatina Fatimah tidak pernah lagi mengeluh keletihan berkenaan urusan-urusan rumahtangganya.

Ketika hayat Rasulullah SAW, Baginda telah pergi ke rumah Abu Ayub Al-Ansari dan Baginda disajikan dengan hidangan roti bakar, daging kambing yang dibakar serta masakkan berkuah. Belum sempat Baginda menjamah makanan yang terhidang itu, Baginda memotong beberapa keping roti dan daging lalu diminta kepada Abu Ayub agar menitipkan makanan tersebut kepada Fatimah az-Zahra dan keluarganya. Baginda berkata “telah sekian lama Fatimah Az-Zahra tidak dapat makanan yang baik seperti itu.”

Fatimah az-Zahra ketika masuk berjumpa Rasulullah SAW selalu mengambil tangan Baginda lalu mengucupnya seraya duduk berdampingan denga Baginda. Begitulah juga saat Baginda pergi ke rumahnya, beliau akan bangun menyambut ketibaan Baginda sambil memegang tangannya lalu mengucupnya. Pernah suatu hari, Fatimah az-Zahra masuk berjumpa Rasulullah SAW yang pada saat itu Baginda sedang gering, sakit di penghujung usia Baginda. Maka, sebagaimana biasa, Fatimah mendekati ayahnya serta meihat Baginda dan kedatangannya itu menggembirakan Rasulullah SAW. Lalu Baginda memanggil Fatimah mendekatinya kemudian Baginda berbisik sesuatu kepada Fatimah. Kata Sayyidatina ‘Aisyah “aku merasakan Fatimah mempunyai kemuliaan melebihi semua wanita-wanita yang lain. Bahkan melebihi isteri-isteri Rasulullah SAW kerana wanita ini sahaja yangb dibisikka sesuatu oleh Rasulullah SAW sehingga pada awal bisikan Nabi SAW, Fatimah menangis.” Saat Baginda melihat tangisan Fatimah, maka ketika itu Baginda sekali lagi memanggil Fatimah lalu beliau mendekatkan telinganya ke arah Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah SAW membisikkan sesuatu dan ketika mendengarkan bisikan kedua itu, Fatimah ketawa dan kelihatan gembira pada dirinya. Kata ‘Aisyah “apabila wafat Rasulullah SAW, aku terus bertanya persoalan yang berbuku di hatiku tentang apa yang dibisikkan oleh Rasulullah SAW.” Kata Fatimah Az-Zahra “Rasulullah SAW telah membisikkan kepada ku dan memaklumkan bahawa Baginda akan wafat. Maka itu yang membuatkan aku menangis tersedu-sedu. Kemudian sesudah Baginda melihat aku yang menangis, Baginda berbisik dan mengatakan sesungguhnya orang pertama daripada ahli keluarga Baginda yang akan menyusulnya ialah diriku. Aku gembira kerana aku tidak akan ditinggalkan lama oleh ayahanda ku dan aku akan menyusul Baginda.” Tidak lama sesudah wafatnya Rasulullah SAW, Fatimah az-Zahra mengalami sakit yang akhirnya sesudah beberapa bulan sahaja, beliau wafat di bulan Ramadan tahun ke-11 Hijrah Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 26 Mac 2018
Scroll to Top