PUTRAJAYA, 19 Dis (IKIM) — Kira-kira 50 pengamal media menyertai perlawanan persahabatan Santai Pickleball YAPEIM Bersama Media yang berlangsung di Bounce and Rally @ Elevate Social Club, Cyberjaya, hari ini, sebagai usaha mengeratkan hubungan dua hala yang sedia terjalin.
Program anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) itu bertujuan memperkukuh hubungan mesra antara YAPEIM dan pengamal media sekitar Lembah Klang yang selama ini banyak membantu serta memberi kerjasama tidak berbelah bahagi dalam menggerakkan inisiatif sosioekonomi dan amal jariah yayasan berkenaan.
Selain memperkukuh jaringan kerjasama, penganjuran program tersebut turut mencerminkan komitmen YAPEIM dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan keseimbangan kerja serta kehidupan (work-life balance) melalui aktiviti riadah yang aktif dan berfaedah.

Program itu berjaya direalisasikan hasil maklum balas positif dan kerjasama tiga persatuan media, iaitu Kelab Media Kuala Lumpur dan Selangor (KLS), Kelab Media Putrajaya (KMP) dan Pertubuhan Wartawan Jurugambar Selangor (WAJAR) yang menghantar wakil masing-masing menyertai kejohanan persahabatan berkenaan.
Perlawanan turut disertai Ketua Pengarah YAPEIM, Tuan Haji Zabidi Nasan, barisan pengurusan tertinggi serta warga kerja YAPEIM.
Turut bersama pasukan berita IKIM diwakili Pengurus Berita dan Advertorial, Hajah Maslina Alias dan Penolong Pengurus Berita dan Advertorial, Hj. Mohd Faiz Othman.
Tuan Haji Zabidi berkata YAPEIM sentiasa memandang tinggi peranan pengamal dan organisasi media yang konsisten menyokong yayasan itu dalam melaporkan berita serta menyebarkan maklumat kepada masyarakat secara seimbang dan adil.

“Kerjasama erat pihak media membolehkan masyarakat mengenali YAPEIM dari sudut yang positif, sekali gus meningkatkan imej YAPEIM sebagai sebuah organisasi yang sentiasa ke hadapan dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak media atas usaha membantu YAPEIM mendapatkan penyumbang dan dana daripada masyarakat, selain menyifatkan hubungan baik antara organisasi dan media sebagai faktor penting dalam penyampaian maklumat yang lebih berkesan serta mendidik masyarakat secara meluas.
Untuk rekod, sehingga November 2025, YAPEIM telah mengagihkan kira-kira RM725 juta melibatkan lebih 10.1 juta penerima manfaat di seluruh negara sejak 1985, merangkumi teras Pembangunan Ekonomi Islam, Pembangunan Pendidikan dan Pembangunan Kemasyarakatan yang dilaksanakan secara inklusif dan sistematik.




