PUTRAJAYA, 14 Feb (IKIM) – Sambutan Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan 1447 Hijrah tahun ini menyaksikan komitmen berterusan pelbagai agensi dan rakan strategik dalam memperkasa agenda pengimarahan Ramadan di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelbagai program dirangka dan dilaksanakan secara menyeluruh melibatkan televisyen, radio serta platform digital termasuk siaran khas di IKIM (IKIMfm), TV JAKIM, TV AlHijrah serta pengisian oleh 14 agensi Hal Ehwal Agama.

Menurut beliau, komitmen sektor korporat dan badan antarabangsa turut memperkukuh usaha tersebut apabila Rabitah Islamiah Malaysia menyumbang lebih RM300,000 bagi menjayakan pelbagai program dan sumbangan sepanjang Ramadan.
“Alhamdulillah, sumbangan ini membolehkan lebih ramai golongan memerlukan disantuni, khususnya dalam bulan penuh keberkatan ini,” katanya kepada wartawan selepas pelancaran program berkenaan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Lembaga Tabung Haji memperuntukkan RM1.4 juta kepada 14 buah Sekolah Angkat Madani di seluruh negara, dengan setiap sekolah menerima RM100,000.
“Inisiatif bersama Tabung Haji ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan pendidikan dan sahsiah pelajar, khususnya daripada keluarga asnaf,” jelas beliau.
Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menyumbangkan lebih RM250,000 bagi menjayakan pelbagai program sepanjang Ramadan di seluruh negara termasuk sumbangan makanan dan minuman kepada lebih 70 masjid di seluruh Malaysia bagi tujuan berbuka puasa.
Beliau menegaskan bahawa sinergi antara agensi kerajaan, badan berkanun, media dan rakan strategik membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI memastikan Ramadan tahun ini benar-benar menjadi bulan penyatuan ummah, penyuburan kasih sayang dan pengukuhan ukhuwah.
“Ramadan mesti dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Kita mahu tiada yang tercicir daripada menikmati keberkatan dan kegembiraan bulan ini,” katanya.




