PUTRAJAYA, 16 April (IKIM) – Majlis Mahabbah Aidilfitri MADANI Agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berlangsung meriah di Dataran Kompleks Islam Putrajaya hari ini.
Sambutan majlis hari raya itu melibatkan kesemua 14 agensi Hal Ehwal Agama termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), TV Al-Hijrah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Naim Mokhtar bersama-sama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan turut hadir memeriahkan suasana.
“Selain daripada kita meraikan Aidilfitri ini, dalam masa yang sama kita menjadikan satu platform untuk kita menyatukan hati dan perasaan seluruh warga agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),” ujar Mohd Na’im.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan raya tajaan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kepada 20 orang mualaf.
Turut menerima sumbangan, 47 orang pelajar asnaf Kemboja dari Kolej Dar Al-Hikmah, Kampung Sungai Ramal, Kajang tajaan MAIWP.

Mohd Na’im juga merasmikan gimik pelancaran Program Korban dan Akikah 1446H/2025M Dalam dan Luar Negara anjuran Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU).
Turut hadir majlis ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah IKIM, Profesor Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil dan Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Pelbagai juadah menarik dihidangkan di reruai agensi yang hadir termasuk sate, nasi dagang dan kambing bakar. IKIM tidak ketinggalan menghidangkan juadah dari utara, mi kari udang dan rojak pasembor.

Tambahan lagi, kesemua agensi mengambil bahagian menerusi empat kategori acara ruai tercantik dengan tema klasik. IKIM berjaya memenangi kategori Meriah Lain Macam bersama-sama tiga agensi lain iaitu MAIWP; JAWI serta PKPU.
Oleh Husna Fathiyyah Mohd Fairuz