SAMA’ HADIS SAHIH MUSLIM RANCAKKAN PROGRAM DAKWAH NEGARA 2025

PUTRAJAYA, 19 Nov (IKIM) – Penganjuran Majlis Sama’ Hadis Sahih Muslim yang berlangsung bermula 19 hingga 28 November menjadi antara pengisian yang memeriahkan sambutan Program Dakwah Negara 2025. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata majlis ini  merupakan kesinambungan daripada kejayaan Majlis Sama’ Hadith Sahih al-Bukhari tahun lalu serta melambangkan komitmen kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan keilmuan Islam yang unggul di rantau ini. 

Screenshot

“Kita bersyukur kerana majlis ini menghimpunkan para ulama besar dari pelbagai negara Islam. Kehadiran mereka mencerminkan kekuatan ukhuwah Islamiah yang merentasi sempadan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sama’ Hadis Sahih Muslim Peringkat Antarabangsa 2025 dan Peluncuran Program Dakwah Negara (PDN) 2025 di Masjid Putra, di sini hari ini. 

Mohd Na’im berkata majlis ini menjadi bukti bahawa Malaysia terus menjadi pemangkin kepada usaha memartabatkan agama, memelihara perpaduan ummah, dan menolak segala bentuk ekstremisme.

Sementara itu beliau berkata, Program Dakwah Negara 2025 merupakan sebuah gerakan nasional bagi memperkasa dakwah bersepadu di seluruh negara.

Screenshot

“Program ini akan menyelaras aktiviti dakwah dengan pendekatan yang lebih strategik, berasaskan kasih sayang, hikmah, dan kefahaman sebenar Islam,” tambah beliau. 

Beliau dalam pada itu turut menyeru agar semua agensi dan pertubuhan Islam di Malaysia menjadikan majlis ini sebagai titik tolak baharu dalam memupuk

budaya ilmu serta menajdikan hadis Nabi SAW sebagai rujukan utama dalam setiap tindakan, agar setiap gerak kerja dakwah berpaksikan dalil dan hikmah.

Program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ini menghimpunkan ulama terkemuka antarabangsa antaranya dari Mesir, Tunisia, India, Bahrain, Syria dan Indonesia serta tokoh-tokoh dari dalam negara. 

PDN 2025 kali ini membawakan tema ‘Membangun Adab Membina Negara’ memberi tumpuan kepada pembentukan masyarakat berilmu yang beradab sebagai aset pembangunan negara. 

Turut hadir pada majlis tersebut Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr. Hasan Bahrom; Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Hj. Ahmad Fuad Mat Ali. 

WhatsApp
Scroll to Top