Saidina Muadz bin Jabal

KETIKA Semenanjung tanah Arab disinari dengan cahaya hidayah dan kebenaran, terdapat seorang anak muda Yathrib dengan wajah yang tampan, rambut hitam bersinar dan mata hitam bercelak yang bernama Muadz bin Jabal. Ketampanan beliau telah berjaya menarik perhatian ramai orang. Beliau telah memeluk Islam di tangan pendakwah yang awal dari Kota Makkah Mus’ab bin Umair pada malam perjanjian Aqabah. Beliau merupakan seorang anak muda yang berjabat tangan dengan Baginda SAW dan berjanji untuk taat setia kepada Baginda dan sanggup berjuang untuk menyebar luaskan agama yang dibawa oleh Baginda. Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm yang bersiaran setiap Isnin jam 5 petang, al-Fadhil Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi mengenai Muadz bin Jabal. Insan yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW dengan berkata “Umatku yang paling arif tentang halal dan haram ialah Muadz bin Jabal”.

Tatkala beliau memeluk Islam, anak muda ini bersama dengan remaja-remaja yang lain mula bergerak untuk menyebarluaskan agama Allah SWT. Namun, mereka menggunakan pendekatan dan cara yang sangat berbeza. Pada malam hari, mereka secara rahsia menyembunyikan berhala-berhala yang disembah oleh orang-orang musyrik Madinah. Antara berhala yang terlibat adalah milik Amru bin Al-Jamuh, seorang lelaki tua yang memimpin kaumnya, Bani Salamah dan enggan memeluk agama Allah SWT. Maka Muadz bersama anak-anak Amru yang telah memeluk Islam mencari satu helah untuk mencabut berhala Manata daripada hati Amru bin al-Jamuh.

Mereka mengambil berhala tersebut di tengah malam dan diletakkan ditempat pembuangan sampah. Keesokannya, Amru mencari berhala tersebut dan menjumpainya. Kemudian dimandikan dan dipakaikan dengan pakaian baru. Kemudian malam keesokannya hilang lagi serta bersilih ganti perkara tersebut. Saban hari perkara ini berulang. Kisah nakal anak muda yang membawa kepada hidayah Allah SWT. Apabila orang tua itu telah penat kerana berhalanya kerap kali hilang tiap-tiap malam, akhirnya beliau berkata kepada berhalanya “Wahai Manata, andainya engkau ini ada kebaikan padamu, kamu lawanlah sendiri penjahat-penjahat yang berbuat jahat kepadamu. Aku tidak tahu siapa yang berbuat jahat kepadamu sedangkan engkau dapat melihat mereka”. Amru bin Jamuh meletakkan pedangnya kepada Manata untuk dibiarkan berhalanya berlawan sendiri.

Pada malamnya, sesudah orang tua itu nyenyak tidur, anak-anaknya bersama Muadz bin Jabal mengangkut berhala tersebut dan pada malam itu mereka menemui bangkai anjing. Lalu mereka meletakkan Manata biar berpelukan dengan anjing serta diikat dan diselit pedang Amru disitu. Kemudian dicampakkan ke tempat pembuangan sampah. Maka, keesokan harinya Amru yang sudah mula hilang keyakinannya kepada berhala dan didapati berhalanya tetap hilang. Dicarinya berhala tersebut dan ditemui di dalam lubang tempat pembuangan sampah dalam keadaan berpelukan dengan anjing. Maka ketika itu dia tidak lagi mengambil Manata, tetapi telah mengungkapkan satu syair. Katanya “Demi Allah, kalaulah engkau Tuhan, engkau tidak akan berpelukan dengan anjing di dalam lubang”. Akhirnya beliau memeluk agama Allah SWT berkat kenakalan dan kecerdikan anak-anaknya dan Muadz.

Ketika Rasulullah SAW tiba di Kota Madinah, Muadz sentiasa melazimi majlis bersama Baginda. Beliau sentiasa mengikuti Baginda dan mengambil Al-Quran daripada bacaan Baginda. Beliau juga mengecapi syariat-syariat Islam langsung daripada Rasulullah SAW sehingga beliau dikenali sebagai qari di kalangan para sahabat yang membaca kitab Allah. Diceritakan oleh Yazid bin Kutaib, katanya “Aku pernah memasuki sebuah masjid di Hims maka di sana aku dapati ada seorang anak muda yang rambutnya kerinting sedang dikerumuni oleh orang ramai. Maka apabila dia bercakap dan berbicara seolah-olah yang keluar daripada mulutnya itu ialah nur dan mutiara. Bahasa yang sangat indah dan ilmu yang sangat mahal. Maka aku bertanya kepada orang yang duduk bersama-sama denganku “siapakah itu?” Maka kata orang ramai, itulah sahabat Rasulullah SAW yang bernama Muadz.

Begitu juga Abu Muslim al-Khawalani telah menceritakan bahawa telah pergi ke sebuah masjid di Damsyik dan mendapati terdapat satu halaqah yang tergolong daripada 30-50 orang sahabat. Ketika itu terdapat seorang anak muda yang tampan dan setiap kali kumpulan tersebut menghadapi satu soalan yang tidak dapat diselesaikan, mereka menghalakan wajah mereka kepada anak muda itu, lalu bertanya kepadanya. Maka kata Abu Muslim, aku bertanya kepada mereka yang duduk di dalam majlis tersebut “siapakah anak muda itu?” Maka kata mereka, itulah sahabat Rasulullah SAW, Muadz bin Jabal. Itulah kelebihan Saidina Muadz bin Jabal yang mendapat tarbiah langsung daripada Baginda Rasulullah SAW.

Muadz juga merupakan antara 6 orang para sahabat yang menghafal al-Quran di zaman Rasulullah SAW dan mengumpulkan Al-Quran secara sempurna. Ketika zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Umar, mereka mengambil Muadz untuk menjadi guru kepada kaum Muslimin kerana ketokohan dan kewibawaan ilmunya. Ketika peristiwa ‘Pembukaan Kota Makkah’ dan melihat ramainya oramh Quraisy memeluk Islam, Baginda telah melantik ‘Itab bin Usaid sebagai pemimpin kota Makkah dan  Baginda juga meninggalkan Muadz untuk menjadi guru kepada orang ramai untuk mengajarkan al-Quran dan memberikan kefahaman agama kepada mereka.

Saat datangnya utusan daripada Raja Yaman, Raja Bazan yang telah menyatakan kerelaannya memeluk Islam serta menyatakan keislaman seluruh rakyat jelata di bawah pemerintahannya. Lalu beliau telah meminta kepada Baginda untuk mengutuskan kepadanya yang boleh mengajarkan Islam kepada mereka, maka Rasulullah SAW telah memilih Muadz bin Jabal untuk memikul tanggungjawab yang besar ini. Beliah telah menjadi guru kepada ramai kaum Muslimin is ang dahagakan ilmu dan kefahaman Islam kerana beliau merupakan sebaik-baik murid daripada sebaik-baik guru iaitu Rasulullah SAW.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 23 Mei 2017
\"\"
Scroll to Top