SATU perkara yang sangat menggemberikan Saidina Abdullah ibn Salam, saat beliau disebutkan sebagai salah seorang ahli syurga. Saat pertama kali bertemu dengan Rasulullah SAW, beliau mendengarkan mengenai tiga perkara yang disebutkan oleh Baginda yang meletakkan seseorang itu tergolong di kalangan ahli syurga. Sejak mendengarkan kata-kata itu, beliau berusaha agar dirinya sentiasa menekuni dengan tiga perkara tersebut. Beliau sentiasa melazimi Baginda Nabi SAW. Tingkah laku dan adab harian beliau mengikut apa yang diajarkan oleh Baginda Nabi SAW. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany meneruskan kisah mengenai Saidina Abdullah ibn Salam.
Satu hari, Qais bin ‘Abbad meriwayatkan “aku duduk bersama di satu majlis ilmu di dalam Masjid Nabawi. Pada majlis tersebut, terdapat lelaki tua yang menyampaikan ilmu dengan ucapan yang sangat menggembirakan dan menenangkan. Beliau bercakap tentang hadith dan memberi kesan di dalam jiwa. Apabila orang tersebut beredar, maka orang ramai berkata : sesiapa yang ingin melihat seorang lelaki daripada ahli syurga, maka lihatlah pada orang ini”. Qais kemudian bertanya gerangan siapakah orang tersebut. Dijawab oleh mereka “Beliau ialah Abdullah ibn Salam”.
Bagi mengetahui mengapa orang ramai menggelarnya dengan ahli syurga, maka Qais pun menuruti Saidina Abdullah setelah beliau beredar keluar dari Masjid Nabawi. Qais mengikutinya sehingga tiba di perbatasan Kota Madinah dan melihat Saidina Abdullah masuk ke rumahnya. Kemudian Qais meminta izin untuk masuk ke rumah Abdullah. Lalu Abdullah bertanya “Apakah hajat tuan datang ke mari?” Qais kemudian berkata “Aku mendengar orang bercakap tentang Tuan, seorang ahli syurga.” Abdullah menjawab “Allah mengenali siapa yang menjadi ahli syurga.” Qais kemudian menyatakan hasratnya bertanya mengapa Abdullah dikenali sebagai ahli syurga.
Abdullah kemudian memulakan cerita “Wahai anakku, ketika aku tidur pada satu malam di zaman Rasulullah SAW, aku mimpi seorang lelaki datang kepadaku dan berkata “Bangunglah. Lalu aku bangun dan beredar meninggalkan tempat tidur. Lelaki itu telah pegang tanganku dan membawaku ke suatu jalan. Apabila aku melalui jalan tersebut, tiba-tiba ada simpang di sebelah kiriku. Lelaki tersebut berkata “teruskanlah perjalananmu, janganlah engkau singgah atau masuk membelok ke simpang tersebut. Aku teruskanlah perjalananku. Tiba-tiba aku melihat satu jalan yang sangat cerah dan luas, indah di arah kananku. Wahai orang muda, laluilah jualan ini. Maka, aku melalui jalan tersebut. Aku melihat keindahan di sekelilingnya sehingga aku sampai di tengah-tengah satu taman yang sangat cantik, tenteram serta menghijau pandangannya. Ketika aku berada di situ, terdapat satu tiang tinggi di tengah taman tersebut. Di puncak tiang tersebut, terdapat satu gelung daripada emas. Maka lelaki itu berkata “Wahai orang muda, dakilah tiang ini”. Aku katakan tidak mampu untuk mendaki. Tiba-tiba datang kepadaku seorang pembantu dan dia telah mengangkatku sedikit demi sedikit sehingga akhirnya aku sampai ke puncak tiang tersebut serta kedua-dua tanganku memegang erat gelung emas tersebut. Aku berada dalam keadaan sedemikian sehinggalah aku terjaga pada waktu pagi.”
Keesokan harinya, Saidina Abdullah ibn Salam terus pergi bertemu dengan Rasulullah SAW dan menceritakan perihal mimpi tersebut. Selepas mendengarkan kisah mimpi tersebut, Baginda Rasulullah SAW berkata “Adapun jalan yang engkau lihat di sebelah kirimu, itu merupakan jalan penghuni-penghuni neraka. Maka, engkau tidak laluinya. Adapaun jalan yang luas dan indah yang engkau lihat, itu adalah jalan penghuni-penghuni syurga. Adapun taman yang engkau masuk yang penuh dengan kehijauan, taman itu ialah Islam dan keindahannya. Adapun tiang yang tertegak tinggi di tengah-tengah taman tersebut, itulah tiang agama, solat. Manakala, gelung emas yang engkau berpegang padanya, itulah iman dan yakin kepada Allah SWT.” Baginda Nabi SAW meneruskan katanya “Engkau akan berkekalan berpegang dengan ketauhidan tersebut sampai engkau meninggal dunia.”
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 30 April 2018