Saidina Abdul Rahman bin Abu Bakar RA

ABDUL Rahman berbeza daripada saudara-saudaranya yang lain di saat ayahnya dan saudara-saudaranya lebih awal memeluk Islam. Allah memuliakan keluarga ini dengan ujian. Kebaikan Saidina Abu Bakar, keimanan Saidina Abu Bakar bersama puteri-puterinya, maka mereka teruji dengan Abdul Rahman, putera sulung Abu Bakar yang tidak memeluk Islam. Beliau lebih percaya dengan pegangan dan anutan kaum musyrikin Quraisy sehingga menentang ayahnya sendiri. Enggan menerima hakikat kebenaran dan enggan memeluk agama Allah SWT. Menerusi segmen Hayatus Sahabah yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, Ustaz Mohd Hazri Hashim al-Bindany berkongsi kisah mengenai putera sulung Saidina Abu Bakar, Saidina Abdul Rahman.

Permusuhan Abdul Rahman bukan sekadar permusuhan yang biasa terhadap orang tuanya, bahkan Abdul Rahman ketika di dalam Peperangan Badar telah menghunuskan pedang menentang orang tuanya sendiri. Beliau merupakah pahlawan Quraisy yang diletakkan di barisan hadapan. Abdul Rahman beberapa kali terserempak dengan bapanya, namun tidak sampai membunuh orang tuanya. Pernah Abdul Rahman berkata setelah beliau memeluk Islam “pernah aku ada peluang untuk membunuh Saidina Abu Bakar, tetapi tanganku tidak sanggup membunuh bapaku.” Takdir Allah mengatasi segala tadbir. Abdul Rahman terselamat daripada mata pedang kaum Muslimin. Begitu juga ketika Abdul Rahman menyertai peperangan Uhud. Ketika perang Uhud, beliau merupakan ketua angkatan memanah. Permusuhan Abdul Rahman terus menerus terhadap Rasulullah SAW dan terhadap ayahnya, Saidina Abu Bakar serta ahli keluarganya yang lain.

Pada tahun ke-7 daripada hijrah Baginda Nabi SAW, Allah SWT telah membukakan pintu hatinya untuk menerima hidayah Allah SWT. Selepas berlakunya perjanjian Hudaibiyah, saat kaum Muslimin telah bebas untuk keluar masuk ke Kota Makkah. Allah SWT mentakdirkan sebab musabab terbukanya pintu hati Abdul Rahman untuk menerima Islam tatkala beliau melihat kebaikan kaum Muslimin, keindahan akhlak serta kejujuran anak kaum Muslimin ketika mereka dipulangkan oleh Rasulullah SAW. Saat itulah yang sangat menggembirakan Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Keseluruhan keluarga Saidina Abu Bakar, keluarga yang telah memeluk Islam.

Setelah memeluk Islam, beliau merupakan seorang yang sangat tekun beribadah kepada Allah SWT. Dikenali sebagai seorang pembaca al-Quran dan larut dalam ibadahnya di malam hari. Beliau juga terkenal sebagai pejuang yang hebat yang menyertai Baginda Nabi SAW. Ketika ayahnya dilantik selaku pemimpin setelah kewafatan Baginda Nabi SAW, beliau telah dilantik menjadi pembantu yang sangat setia kepada ayahnya. Bahkan beliau juga merupakan pejuang hebat yang telah memerangi angkatan murtad. Dalam peperangan penaklukan kaum Muslimin terhadap bumi Syam, beliau juga terlibat sebagai angkatan perang bersama-sama Abu Ubaidah al-Jarrah & Amru bin Al-Asy. Beliau terdiri dalam kalangan Mubarrizun (angkatan perang yang berada di barisan hadapan). Mereka juga sanggup menyahut seruan musuh untuk pertempuran satu lawan satu. Ketika peperangan di Syam, telah berlaku lima kali pertempuran satu lawan satu telah disertai oleh Abdul Rahman dan setiap kali itu beliau berjaya menumpaskan pahlawan musuh.

Ketika perang di Yarmouk, setelah angkatan Rom menempatkan tentera mereka yang ramai, seramai lima orang tentera Rom mengajak perlawanan satu lawan satu dengan kaum Muslimin. Maka, Abdul Rahman hanya sendirian bertempur dengan lima orang angkatan Rom dan beliau berjaya menumpaskan mereka. Selapas daripada peperangan demi peperangan, Abdul Rahman bin Abu Bakar kembali ke Kota Madinah hidup dengan aman dan tenang. Beliau terkenal sebagai seorang yang zuhud dalam kehidupan dan banyak member nasihat kepada kaum Muslimin.

Penghujung usia Abdul Rahman, beliau teruji dengan konflik yang berlaku tatkala Mu’awiyah bin Abi Suffiyan ingin melantik puteranya Yazid sebagai khalifah untuk menggantikan beliau. Saat gabenor Madinah ketika itu, Marwan bin al-Hakam tampil di hadapan orang ramai menyatakan bahawa Muaiwyah akan melantik Yazid sebagai khalifah, sekalipun ramai yang tidak berpuas hati, mereka tetap berdiam diri. Orang pertama yang tampil menyatakan ketidakpuasan hati terhadap keputusan itu, Saidina Abdul Rahman bin Abu Bakar. Beliau mengatakan “ini bukan sunnah daripada Abu Bakar as-Siddiq mahupun Saidina Umar. Abu Bakar tidak pernah pun melantik anaknya sendiri.” Beliau menambah “apa yang dilakukan oleh Mu’awiyah, adalah apa yang diwarisi daripada orang Rom dan Parsi.” Maka, ketika itu, timbullah konflik sehingga Marwan memerintahkan supaya Abdul Rahman ditangkap, namun Abdul Rahman ketika itu berselindung di rumah Sayyidatina ‘Aisyah r.ha. ketika Abdul Rahman mempunyai peluang untuk keluar dari Kota Madinah, maka beliau keluar dari kota tersebut dengan hasrat untuk kembali ke Kota Makkah.

Setibanya di Makkah, beliau jatuh sakit dan meninggal dunia dalam keadaan beliau dikenali sebagai seorang pejuang. Sebelum memeluk Islam, beliau pejuang hebat kaum musyrikin. Begitu juga saat memeluk Islam, beliau terkenal sebagai pejuang Islam yang hebat. Di akhir usianya juga, beliau merupakan seorang pejuang yang mempertahankan keadilan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Mac 2018
\"\"
Scroll to Top