Sejarah dan Amalan Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari
Sejarah Islam telah menyaksikan suburnya tradisi penyebaran dan pengumpulan hadis Rasulullah SAW yang diusahakan oleh para ilmuwan dan perawi hadis khususnya selepas pemergian Rasulullah SAW. Salah satu kaedah utama hadis-hadis ini diajarkan adalah melalui kaedah sama’ ataupun mendengar secara langsung daripada guru. Rasulullah SAW menggunakan kaedah ini dengan mengungkapkan bait hadis lalu para sahabat mendengar dan menyampaikan hadis tersebut kepada mereka yang tidak mendengarnya secara langsung.
Majlis hadis pula pada asalnya diadakan bertujuan untuk pengumpulan dan periwayatan hadis. Hal ini berlaku antara kurun pertama sehingga kurun keempat hijrah kerana selepas kurun keempat hampir keseluruhan hadis Rasulullah SAW telah dikumpul, disaring, dan diklasifikasikan dalam bentuk kitab-kitab sahih, sunan dan jami’.
Manakala, amalan sama’ hadis dari kitab-kitab hadis yang telah dikumpulkan dan dibukukan seperti yang diamalkan pada hari ini dipercayai telah diamalkan sejak zaman pemerintahan Sultan Nuruddin Zanki (1118M-1174M). Pada ketika itu amalan sama’ hadis ini dijadikan antara motivasi umat Islam untuk membebaskan al-Quds.
Latar belakang dan Pengiktirafan Ulama’ terhadap kedudukan Sahih al-Bukhari
Kitab Sahih al-Bukhari merupakan kumpulan hadis-hadis sahih yang dikumpul dan disaring oleh Imam Muhammad bin Isma’il al-Bukhari selama 16 tahun.
Para ulama hadis telah mengiktiraf Imam Bukhari sebagai al-Hafiz dan Amirul Mukminin, iaitu gelaran tertinggi dalam bidang hadis..”
Al-Syaukani pula menulis dalam Nayl al-Awṭār: “Ketahuilah bahawa mana-mana hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, atau salah satu daripadanya, boleh dijadikan hujah tanpa perlu diselidik lagi, kerana kedua-dua kitab tersebut telah beriltiza terhadap kesahihan, dan umat telah menerima isi kandungannya dengan sepenuh penerimaan.”
Para sultan dinasti Mamluk sangat menghargai Sahih al-Bukhari dan sering meminta para fuqaha’ untuk membaca kitab itu dalam majlis mereka sebagai usaha mencari keberkatan dan petunjuk.
Pada zaman Sultan Qā’itbāy al-Maḥmūdī, salah satu syarat untuk menjadi imam di Masjid Qal‘ah adalah penguasaan terhadap Sahih al-Bukhari. Imam yang dilantik diwajibkan mengadakan halaqah khusus untuk membaca keseluruhan kitab Sahih al-Bukhari.
Malaysia Madani dan pembudayaan hadith Nabawi
Majlis Sama’ Hadith Sahih al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 yang sedang berlangsung sekarang merupakan kesinambungan daripada Seminar Penghayatan Sahih Bukhari Peringkat Kebangsaan 2023 yang diadakan pada 22 Julai 2023 di Masjid Putra, yang disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Program ini bertujuan menjulang pembudayaan ilmu dan tradisi Islam di bawah dasar Malaysia Madani melalui penghayatan kitab agung Sahih al-Bukhari. Ia menampilkan tokoh-tokoh ulama tempatan dan antarabangsa, antaranya Syeikh Abu Bakar Ahmad, Mufti Agung India dan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 2023 serta Syeikh Usamah al-Azhari, Menteri Wakaf Mesir.
Program ini telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 September 2024, dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia diamanahkan untuk menyelaras pelaksanaannya bersama rakan strategik utama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia dan Pertubuhan Kebajikan At-Taibah. Kemuncak majlis ini ialah Majlis Khatam Sama’ al-Bukhari, yang akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada 21 November 2024.
Amalan sama’ hadis ini bukanlah perkara baharu dalam tradisi umat, namun buat julung-julung kalinya majlis sama’ hadis ini dianjurkan oleh Kerajaan Malaysia sendiri dan direalisasikan di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri. Perkara ini jelas menunjukkan Islam terus mekar dan subur di Malaysia, dengan rancaknya majlis-majlis ilmu bersama para ulama dari seluruh dunia.
Anjuran ini bersesuaian dengan sejarah amalan sama’ Sahih al-Bukhari pada era Nuruddin Zanki dan Salahuddin al-Ayyubi yang dilakukan ketika mereka sedang giat menjalankan usaha untuk membebaskan al-Quds. Dalam konteks hari ini, Kerajaan Malaysia terus konsisten memperjuangkan Palestin dan terkini dalam usaha menggerakkan tindakan sewajarnya terhadap Israel atas jenayah perang yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. Justeru, umat Islam di Malaysia khasnya perlu terus memberi sokongan padu bersama-sama kerajaan dalam usaha dan inisiatif signifikan dan strategik ini.
Sahih al-Bukhari Medium Penyatuan Ummah
Program Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari dianjurkan sebagai salah satu platform ke arah penyatuan umat Islam melihatkan keadaan mutakhir ini yang menyaksikan polemik, perdebatan bahkan perkelahian dalam banyak isu termasuk perbezaan aliran dan manhaj.
Justeru, mengenangkan kedudukan Sahih al-Bukhari sebagai kitab yang disepakati kesahihan dan kehujahannya, sewajarnya majlis sama’ hadis dianjurkan ini dijadikan medium perhimpunan umat dari segenap lapisan masyarakat, umur, latar belakang, dan fahaman politik.
Penulis sendiri menghadirinya dan menyaksikan ribuan hadirin tekun mendengar, membaca serta menghayati syarahan mengenai hadis Sahih al-Bukhari. Ini merupakan satu usaha murni bagi menyatukan hati ummah yang sedang berpecah, di bawah panji mengagungkan syiar agama dan kalam Rasulullah SAW.
Majlis seumpama ini seharusnya menjadi medan untuk kita melupakan sejenak segala perbezaan kecenderungan pemikiran, perbezaan manhaj dan aliran, lalu bersatu hati dalam menjayakan agenda ummah. Renungilah sabda Rasulullah SAW yang tercatat dalam Sahih al-Bukhari yang menekankan peri penting memelihara hubungan sesama Muslim:
الْمُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِ كَالْبُنْيَانِ يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضًا
Maksudnya: Hubungan antara seorang mukmin dengan saudara mukmin yang lain adalah umpama sebuah bangunan, mereka saling menyokong dan menguatkan antara satu sama lain.
Sahih al-Bukhari (2446)
Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT:
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖفَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ
Maksudnya: Maka dengan sebab rahmat dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada sahabat-sahabat dan pengikutmu, dan kalaulah engkau bersikap kasar, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah kesalahan mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan hal-hal keduniaan.
Surah Ali ‘Imran (159)
Firman Allah SWT ini pada asalnya ditujukan kepada Rasulullah SAW, turut menjadi panduan kepada seluruh umat Islam. Sikap rahmah, lemah-lembut, saling memaafkan dan mengutamakan syura merupakan prasyarat kepada perpaduan ummah. Selagi kita tidak mengikis sikap suka bertelagah, label-melabel, melampau dalam perdebatan dan mengadu domba, mana mungkin ummah akan mencapai kesatuan dan kekuatan yang didambakan.
Akhir kalam, semoga setiap detik yang berlalu, setiap patah matan hadith yang dibaca, setiap butir bicara hikmah yang dituturkan sepanjang berlangsungnya Majlis Sama’ Hadis Sahih al-Bukhari ini akan membawa barakah kepada bumi Malaysia yang bertuah ini.
Semoga rakyat Malaysia seluruhnya dan umat Islam khasnya sentiasa hidup dalam keadaan aman makmur, serta bersatu padu di bawah sinaran rahmat Allah SWT. Islam terus subur dan mekar di Malaysia. Amin ya Rabbal ‘Alamin.
Artikel oleh : YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)