SAHIBUS SAMAHAH AHMAD FAUWAZ DILANTIK SEBAGAI MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR, 26 Mei (IKIM) – Sahibus Samahah Ahmad Fauwaz bin Fadzil telah dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan berkuat kuasa 23 Mei 2025, dengan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan menyifatkan pelantikan tersebut sebagai pengiktirafan terhadap kewibawaan dan kepakaran Ahmad Fauwaz dalam pelbagai bidang keilmuan Islam.

“Ini mencerminkan keyakinan dan harapan tinggi kepimpinan negara terhadap kebolehan dan kewibawaan Sahibus Samahah dalam mengemudi institusi fatwa dengan penuh integriti dan hikmah,” kata beliau.

Ahmad Fauwaz merupakan lulusan Sarjana Muda Syariah Islamiyyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir serta memiliki Sijil Profesional Fatwa dari Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, Mesir. Beliau turut memegang Ijazah Sarjana Usul Fiqh dari Universiti Malaya serta pensijilan antarabangsa Certified Sharia Advisor and Auditor (CSAA) oleh AAOIFI.

Sepanjang kerjayanya, beliau aktif menyumbang dalam pelbagai institusi keagamaan, kewangan Islam dan akademik, termasuk Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Kepakaran beliau meliputi bidang usul fiqh, fiqh muamalat, fiqh perubatan dan fiqh kontemporari.

Beliau juga dikenali sebagai tokoh ilmuwan yang sering muncul di media dan forum ilmiah dengan pendekatan yang inklusif dan mendidik dalam menjelaskan isu-isu keagamaan semasa.

Mohd Na’im yakin Ahmad Fauwaz akan memperkukuh peranan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sebagai institusi autoritatif yang menjadi rujukan umat Islam di Malaysia, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.

“Semoga Allah SWT memberkati pelantikan ini dan memberikan kekuatan kepada beliau untuk menjalankan amanah ini dengan penuh hikmah, integriti dan istiqamah,” tambah beliau.

WhatsApp
Scroll to Top