RM1.6 BILION FOKUS MAIWP PERKASA KEBAJIKAN DAN PENDIDIKAN UMMAH 2026

KUALA LUMPUR, 9 Dis (IKIM) – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM1.6 bilion bagi mengukuhkan agenda kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan menerusi Bajet MAIWP 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata, dua fokus utama digariskan dalam perbelanjaan agihan kepada asnaf iaitu kesejahteraan dan pemberdayaan asnaf serta pemerkasaan pendidikan ummah yang melibatkan keseluruhan RM1.354 bilion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.157 bilion diperuntukkan bagi tujuan kesejahteraan dan pemberdayaan asnaf melalui agihan yang merangkumi kluster kebajikan, perlindungan, perubatan, pembangunan ummah dan asnaf, wakalah serta zakat bahagian amil. Sementara itu, RM197.22 juta disediakan bagi pemerkasaan pendidikan melalui kluster pendidikan serta institusi pendidikan dan kebajikan.

Mohd Na’im berkata, Bajet MAIWP 2026 memberikan tumpuan secara menyeluruh untuk memperkukuh kesejahteraan asnaf melalui penyediaan keperluan asas dan pelaksanaan program pembangunan yang holistik bagi meningkatkan taraf hidup mereka dari sudut sosial serta kerohanian. 

Pada masa yang sama, MAIWP turut memberi penekanan besar terhadap pendidikan anak-anak asnaf, bermula dari peringkat awal sehingga ke menara gading, agar mereka berpeluang mencapai potensi terbaik dan seterusnya menjadi ejen perubahan kepada keluarga masing-masing.

Dalam aspek pengurusan dan pembangunan, MAIWP turut memperuntukkan RM250.7 juta bagi perbelanjaan mengurus yang meliputi aktiviti operasi dan pengurusan. Selain itu, sebanyak RM73.65 juta dana pembangunan turut disediakan bagi tujuan pembangunan fizikal hartanah, pembelian aset dan pelaburan yang dapat memberi kesejahteraan kepada ummah.

Beliau berkata, Bajet MAIWP 2026 yang bertemakan “Kesejahteraan Ummah” digubal secara berhemah dan realistik dengan tumpuan memastikan setiap perbelanjaan memberi pulangan terbaik kepada rakyat, selain memastikan tiada pengurangan program atau inisiatif sedia ada. Peruntukan yang besar itu turut mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta isu miskin bandar yang menjadi keutamaan MAIWP khususnya di Wilayah Persekutuan.

Mohd Na’im menjelaskan bahawa pendapatan isi rumah yang tidak setimpal dengan kenaikan kos perbelanjaan memberi kesan besar kepada kelangsungan hidup masyarakat, terutamanya golongan asnaf. Sehubungan itu, strategi agihan bajet dirangka bagi menjamin kesejahteraan, perlindungan dan mobiliti sosial golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut memaklumkan bahawa pendapatan MAIWP bagi 2026 dianggarkan berjumlah RM1.7 bilion, meningkat sembilan peratus berbanding anggaran RM1.5 bilion pada tahun ini. MAIWP menyasarkan kutipan zakat berjumlah RM1.37 bilion pada tahun depan, di samping pendapatan daripada aktiviti sewaan, yuran pengajian, pelaburan serta geran daripada Kementerian Kewangan.

Turut hadir Pengerusi MAIWP, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Haji Yahya 

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Na’im

WhatsApp
Scroll to Top