Ramuan Kebahagiaan Rumahtangga

SANDARAN pada kebahagiaan rumah tangga merupakan suatu kebaikan yang dibawa ke dalam sebuah keluarga sebelum memperoleh kebahagiaan dari masyarakat atau sesebuah organisasi luar yang lain. Rezeki dari ilmu dan panduan yang baik melalui nikmat ALLAH SWT merupakan sebuah kesyukuran yang terus dinikmati agar memperoleh keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Setiap pasangan yang berkahwin, pasti inginkan kemanisan yang berpanjangan dalam rumahtangga yang dibinanya serta haruslah bersikap terbuka dan menerima segala perubahan, kelebihan dan kelemahan dengan positif. Persefahaman dan sikap toleransi antara suami isteri amat penting dalam memastikan rukun kebahagiaan di dalam sesebuah rumahtangga itu terjamin. Oleh itu, segala bentuk laluan kehidupan rumahtangga yang dihadapi membawa kepada topik ‘ramuan kebahagiaan rumahtangga’ yang dibicarakan oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi rancangan ‘Islam Itu Indah’ bersiaran pada setiap hari Rabu jam 10.15 pagi yang lalu di IKIMfm.

Di dalam surah an-nisa ayat 1, ALLAH SWT berfirman yang maksudnya, “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu”. Penciptaan manusia yang bermula dari nabi Adam dan Siti Hawa, membawa kepada sebuah keturunan yang mempunyai jantina lelaki dan perempuan untuk berganding hidup menerusi perhubungan yang halal.

Garis panduan Al-Quran dan Sunnah yang telah disediakan untuk diamalkan oleh pasangan juga telah menjanjikan kebahagiaan dan kenikmatan yang lebih besar iaitu syurga yang kekal abadi. Oleh itu, asas dan teras yang mengukuhkan rumah tangga harus dibina atas dasar iman dimana ianya berkaitan niat dan tujuan dalam mendirikan perkahwinan. Keimanan yang ada di dalam diri merupakan sebuah penyatuan diantara dua hati pasangan suami isteri. Punca dari keimanan tersebut akan melahirkan sifat kesabaran, redha dan kasih sayang. Ustaz Pahrol menegaskan jika pasangan yang beriman kepada ALLAH SWT, pastinya mereka juga mampu beroleh sebuah hubungan yang intim penuh dengan kasih sayang. Sebelum memulakan kehidupan perkahwinan, permulaan perjalanan hidup perlu dilalui dengan tujuan terlebih dahulu iaitu dengan menjadi hamba ALLAH SWT dan khalifah di muka bumi.

Setiap umat Islam yang mendirikan rumahtangga seharusnya diselaraskan dengan tujuan hidup supaya matlamatnya mempunyai fokus kearah seruan Ilahi. Asas utama untuk menjadi khalifah di bumi merupakan tugas yang dipertangtungjawab untuk melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan ALLAH serta membuat segala kebaikan. Oleh itu, tujuan berumah tangga adalah untuk membantu mencapai tujuan hidup dimana pasangan yang dikahwini itu seharusnya dapat berkongsi, membantu, memudahkan dan bekerjasama untuk menjadi hamba ALLAH SWT yang baik. Walaupun berlakunya beberapa masalah seperti konflik dan ego didalam rumahtangga, suami isteri tidak akan terkesan kepada perkara negatif sekiranya diantara mereka mempunyai keimanan yang sentiasa akan merujuk kepada ALLAH SWT.

Allah berfirman melalui surah Ali-Imran ayat 103 yang bermaksud, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai”. Dalam ayat ini menerangkan kepada sebuah istilah ‘Bilhablillahi’ yang menyeru umat Islam supaya terus berada bersama ALLAH SWT dan teguh bersama agama Islam. Syariat merupakan peraturan dan hukum dari ALLAH SWT terbahagi kepada lima bahagian iaitu halal, wajib, haram, sunat dan makhruh. Syariat yang disediakan oleh ALLAH SWT akan menjadi penyelesaian terhadap masalah di dalam rumahtangga seperti perselisihan faham, konflik dan sebagainya.

Rujukan kepada syariat amat penting buat pasangan suami isteri apabila dihayati, difahami serta diamalkan bagi menyatukan hubungan perkahwinan yang kekal selamanya melalui kesepakatan pendapat berlandaskan hukum syarak. Pemikiran dan pendapat yang berlainan diantara satu sama lain serta perlaksanaan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam akan mengundang kepada kejahilan dan kedegilan. Oleh itu, setiap pasangan haruslah mengutamakan sikap teguran yang baik dan membuat perbincangan untuk menguruskan keserasian jika berlaku masalah. Keberkatan suami isteri yang menjaga syariat merupakan satu penjagaan dari ALLAH SWT terhadap rumahtangga mereka disamping setiap perasaan kasih sayang dan pemikiran akan terus berpandu kepada rasa hati yang tenang serta memporoleh emosi perasaan yang stabil.

Sebuah rumahtangga merupakan satu perjalanan penerbangan menuju keredhaan ALLAH SWT dimana suami diwakili oleh sayap kanan manakala isteri diwakili oleh sayap kiri untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Peranan dan tanggungjawab yang dilaksanakan haruslah diikuti dengan sabar yang produktif, tekun menjalankan amanah serta bertaubat kepada ALLAH SWT. Walaupun setiap rumahtangga itu ternyata tiada masalah, namun perlaksanaan amalan tersebut menjamin kerharmonian yang diredhai ALLAH SWT. Dunia akan terus menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan melalui pasangan yang menggunakan niat dan panduan yang betul. Muhasabah di setiap perubahan untuk memperbaiki diri sendiri kearah positif yang diniatkan kerana ALLAH SWT, akan dapat membantu pasangan itu menjadi ceria, gembira, redha dengan nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Ogos 2016
\"2016-08-17\"
WhatsApp
Scroll to Top