PUTRAJAYA, 26 Julai (IKIM) – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang merampas kuasa pentadbiran Masjid Ibrahim di Hebron (al-Khalil), Palestin.
Rampasan tersebut menyaksikan kuasa pentadbiran masjid suci bersejarah itu dipindahkan daripada Majlis Perbandaran Hebron kepada Majlis Agama Kiryat Arba, sebuah entiti penempatan haram Israel.
“Masjid Ibrahim tempat suci umat Islam ini diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai tapak warisan dunia sejak 2017. Tindakan ini bukan sahaja mencabuli ketetapan tersebut, malah mencerminkan kezaliman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin dan warisan Islam sejagat,” tegas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysia turut menyatakan sokongan penuh terhadap gesaan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin agar komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), segera bertindak menghentikan rampasan haram itu.
Mohd Na’im berkata kerajaan menyambut baik pendirian tegas negara-negara seperti Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang turut mengutuk tindakan tersebut.
“Kerajaan menyeru seluruh umat Islam di Malaysia dan di peringkat global untuk terus menyuarakan bantahan, berdoa serta menyumbang ke arah mempertahankan Masjid Ibrahim dan keseluruhan bumi Palestin daripada cengkaman penjajahan Israel,” ujar beliau lagi.
Beliau menambah, rampasan kuasa pentadbiran ini dilihat sebagai sebahagian daripada strategi meluaskan pengaruh penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki, sekali gus menambah ketegangan di wilayah yang telah lama bergolak.