RAMADAN BULAN TARBIAH, PERKUKUH KEIMANAN DAN JALINAN UKHWAH

KUALA LUMPUR, 12 Mac (IKIM) – Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi medan tarbiah untuk memperkukuh keimanan, disiplin, dan jalinan ukhuwah. 

Demikian menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dalam ucapannya pada Majlis Iftar Rahmah Madani bersama Pelajar Institut Kemahiran Baitulmal (IKB) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di IKB, dekat sini, hari ini.

Beliau turut berkata seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia Madani, kerajaan terus komited memperkasa pendidikan sebagai kunci kejayaan bagi generasi akan datang.

“Sebagai bukti keprihatinan terhadap kebajikan pelajar asnaf, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengumumkan Bantuan Ramadan dan Aidilfitri berjumlah RM1.305 juta kepada 4,250 pelajar institusi pendidikan MAIWP,” ujar beliau. 

Mohd Na’im berkata bantuan ini akan dikreditkan terus ke akaun penerima pada 25 Mac 2025, membolehkan mereka membuat persiapan sambutan Aidilfitri dengan lebih bermakna. IKB menerima peruntukan RM90,000 manakala KPBKL menerima RM270,000, berdasarkan jumlah pelajar yang layak.

Selain itu, MAIWP juga memperuntukkan RM230.63 juta bagi memperkasakan modal insan pada tahun 2025, termasuk RM131 juta untuk skim bantuan pendidikan, RM17 juta untuk program pembangunan pendidikan, dan RM49 juta bagi membiayai institusi pendidikan di bawah MAIWP. Langkah ini selaras dengan Pelan Transformasi Al-Falah, yang menumpukan pembangunan holistik dalam aspek pendidikan, kemahiran, kebajikan, dan sosioekonomi.

Beliau turut menyeru para pelajar agar menggunakan peluang ini untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan, menjadikan Ramadan sebagai detik muhasabah diri dan pembinaan karakter. Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para pembayar zakat yang menjadi tunjang kepada inisiatif pendidikan MAIWP.

WhatsApp
Scroll to Top