‘RAKAN’ PERKASA BUDAYA ILMU, IMARAHKAN SURAU PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 21 Jan (IKIM) – Pelaksanaan Program Raih Keberkatan Ramadan (RAKAN) disifatkan sebagai satu inisiatif yang tepat pada masanya dalam menyantuni komuniti warga Parlimen, khususnya menjelang dan sepanjang bulan Ramadan yang mulia.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata program berkenaan bukan sekadar pengisian rutin, sebaliknya satu usaha terancang untuk mengimbangi tanggungjawab duniawi dengan pemantapan spiritual berteraskan ajaran al-Quran dan al-Sunnah.

“Sepanjang Ramadan ini kita akan mendapat ilmu dalam RAKAN ini dan saya difahamkan akan kita bawa pendakwah-pendakwah, mereka yang mempunyai kredibiliti, mereka yang mempunyai ilmu, bukan sahaja untuk kakitangan kita, pegawai kita, tapi juga ahli Parlimen, sementara menunggu waktu Zuhur,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Program RAKAN di Surau Parlimen hari ini, yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli. 

Menurut Johari, program RAKAN memberi ruang kepada pengisian ilmu, tazkirah dan peringatan yang relevan dengan konteks kepimpinan dan kenegaraan, sekali gus mengimarahkan surau dan ruang solat Parlimen sebagai pusat pembinaan jiwa dan nilai.

Dalam perkembangan sama, Dr. Zulkifli Hasan merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Johari Abdul serta Parlimen Malaysia kerana membuka ruang dan peluang kepada Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk berkolaborasi dalam menjayakan majlis ilmu di Parlimen.

Program inisiatif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ini tidak terhad kepada bulan Ramadan semata-mata, sebaliknya akan diteruskan sepanjang persidangan Parlimen dan dilaksanakan secara berfasa sepanjang tahun.

“Kita bukan hanya bergerak dalam bulan Ramadan, tetapi bergerak beyond Ramadan. Sepanjang persidangan Parlimen, bukan sahaja kuliah dan pengisian ilmu akan diadakan, malah kita turut merancang pelbagai program lain seperti iftar, aktiviti bersama masyarakat dan program keilmuan yang lebih menyeluruh,” tambah beliau.

Menurut beliau, usaha tersebut bertujuan mengimarahkan surau Parlimen dengan majlis ilmu dan aktiviti keilmuan sebagai sebahagian daripada proses membina kefahaman, nilai dan kekuatan rohani dalam kalangan pembuat dasar negara.

Program RAKAN yang akan berlangsung dari 21 Januari hingga 12 Mac itu dijangka memberi impak positif berpanjangan, bukan sahaja dari sudut penghayatan ibadah dan kesejahteraan rohani, malah dalam memperkukuh etika kerja, amalan tadbir urus yang baik serta kesedaran amanah dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen dan seluruh warga Parlimen.

WhatsApp
Scroll to Top