RAJA CHARLES III RASMI SAYAP BAHARU PUSAT PENGAJIAN ISLAM OXFORD

OXFORD, 22 Julai (IKIM) – Raja Britain, Raja Charles III pada Khamis lalu telah merasmikan sayap baharu yang dinamakan sempena nama baginda di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom (UK) bersempena ulang tahun ke-40 penubuhan pusat berkenaan.

Raja Charles dalam titahnya menyatakan betapa besar rasa bangga dan kekaguman Baginda untuk memberi penghormatan kepada pusat yang luar biasa ini. 

Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap komitmen berterusan pusat tersebut dalam memupuk keilmuan yang objektif dan kerjasama antarabangsa, yang berteraskan prinsip dialog, kefahaman yang mendalam serta rasa hormat antara satu sama lain.

“Usaha berterusan pusat ini dalam bidang keilmuan yang objektif dan kerjasama antarabangsa yang diasaskan atas prinsip dialog, kefahaman mendalam, dan saling menghormati adalah lebih penting berbanding sebelum ini dalam dunia yang kita hadapi hari ini,” titah Raja Charles. 

Raja Charles telah menjadi Penaung Pusat Pengajian Islam Oxford sejak tahun 1993, tahun yang sama beliau menyampaikan syarahan bersejarah di Oxford yang menekankan sumbangan besar tamadun Islam kepada keilmuan Barat.

Antara titah Raja Charles pada tahun 1993 itu, baginda pernah bertitah; “Jika terdapat banyak salah faham di Barat terhadap Islam, maka wujud juga kejahilan yang besar terhadap hutang ilmu dan tamadun kita kepada dunia Islam. Ia adalah suatu kegagalan yang, pada pandangan saya, berpunca daripada kekangan sejarah yang telah kita warisi.”

Turut hadir pada majlis tersebut Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Datuk Dr Afifi al-Akiti. 

WhatsApp
Scroll to Top