PUSAT TAMADUN ISLAM UZBEKISTAN ANJUR PERSIDANGAN ANTARABANGSA SEMPENA 690 TAHUN AMIR TIMUR

TASHKENT, 10 April (IKIM) – Islamic Civilization Center in Uzbekistan menganjurkan satu persidangan saintifik antarabangsa bersempena ulang tahun ke-690 kelahiran Amir Timur dari 9 hingga 11 April ini.

Persidangan yang diadakan atas inisiatif Presiden Shavkat Mirziyoyev itu dijangka menjadi platform antarabangsa utama bagi membincangkan peranan Amir Timur serta sumbangan tamadun Renaissance Timur dalam sejarah dan budaya dunia.

Lebih 300 peserta dari lebih 20 negara akan mengambil bahagian, termasuk sarjana terkemuka, pakar, diplomat serta tokoh masyarakat.

Turut dijemput ialah wakil organisasi antarabangsa dan pusat penyelidikan seperti ICESCO, Oxford Centre for Islamic Studies, IRCICA serta Al-Furqan Foundation.

Program ini dianjurkan bersama Academy of Sciences of the Republic of Uzbekistan dan Ministry of Foreign Affairs of Uzbekistan, dengan sokongan World Society for the Study, Preservation, and Popularization of the Cultural Legacy of Uzbekistan.

Sepanjang persidangan, pelbagai aspek era Timurid akan dibincangkan, termasuk pentadbiran negara dan diplomasi, seni ketenteraan dan strategi, seni bina serta perancangan bandar, selain perkembangan sains, pendidikan dan kebudayaan.

Turut hadir persidangan ini Duta Malaysia ke Republik Uzbekistan, Ilham Tuah Illias dan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) serta delegasi IKIM.

Perhatian khusus turut diberikan terhadap pengaruh legasi Amir Timur dalam pembentukan tamadun global, politik dan ekonomi.

Selain sesi ilmiah, penganjur turut menyediakan program kebudayaan dan lawatan, termasuk kunjungan ke Islamic Civilization Center in Uzbekistan, pameran bertema, tayangan dokumentari “Amir Timur and Donna Maria”, pertunjukan pemetaan serta pementasan teater “The Wedding in Konigile.”

Pada penutup persidangan, beberapa cadangan saintifik akan dirumuskan dan pelan tindakan akan digariskan bagi memperkukuh kajian serta promosi legasi Timurid.

Majlis penutup juga akan menyaksikan pemeteraian memorandum kerjasama antara pusat berkenaan dengan beberapa organisasi saintifik dan kebudayaan antarabangsa.

Penganjuran persidangan ini dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh dialog ilmiah antarabangsa serta mengangkat warisan sejarah dan kebudayaan Uzbekistan di peringkat global.

WhatsApp
Scroll to Top