KUALA LUMPUR, 19 Ogos (IKIM) – Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Seputeh yang kini beroperasi di lokasi baharu di Jalan Klang Lama bakal memberi peluang dan memudahkan golongan asnaf yang tinggal di kawasan sekitar untuk berurusan dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan adanya PAZA ini, golongan asnaf yang berada di sekitar Parlimen Seputeh ini tidak lagi perlu ke ibu pejabat MAIWP di Kuala Lumpur untuk pelbagai urusan berkaitan serta permohonan bantuan zakat sekiranya mereka layak.

“Ini adalah sebahagian daripada perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MAIWP untuk memudahkan rakyat di Kuala Lumpur ini. Kalau tak mereka ini terpaksa ke ibu pejabat di Menara MAIWP,” kata beliau.
Beliau berkata demikian setelah merasmikan lokasi baharu PAZA Cawangan Seputeh di sini hari ini.

Cawangan kesembilan PAZA ini mencerminkan komitmen MAIWP memperkukuh jaringan agihan zakat agar lebih dekat, cepat dan berkesan kepada penerima manfaat.
Sementara itu, beliau berkata bantuan zakat yang disalurkan MAIWP sentiasa berasaskan kepada kelayakan semasa penerima, manakala mereka yang tidak lagi layak diminta berlaku jujur dengan memaklumkan kepada MAIWP.
Mohd Na’im berkata penerima yang memenuhi syarat akan terus dibantu, namun matlamat utama zakat ialah memastikan golongan asnaf dapat keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Falsafah di MAIWP adalah melahirkan golongan asnaf yang mampu menjadi usahawan, memperoleh pendapatan yang baik, dan seterusnya menjadi pembayar zakat untuk membantu orang lain,” tambah beliau.
Beliau dalam pada itu turut menyantuni tiga keluarga asnaf di kawasan sekitar menerusi Program Ziarah Asnaf siri enam.
Turut hadir Pengerusi MAIWP, Tuan Haji Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer; dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam bin Haji Yahya.

Foto: FB Dato’ Setia Dr. Naim