BANTING, 24 Feb (IKIM) – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus menyemarakkan semangat kebersamaan dan berkongsi rezeki menerusi pelaksanaan Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) 2026 yang melibatkan pelajar institusi pendidikan serta komuniti setempat di seluruh negara.
Program berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi PTPTN, Norliza Abdul Rahim di Politeknik Banting, Selangor, dengan kehadiran barisan pengurusan PTPTN, wakil Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti serta warga politeknik berkenaan.

Menurut Norliza, program IMRAN yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN sejak 2021 bertujuan mengeratkan hubungan silaturrahim antara PTPTN, pelajar dan institusi pendidikan, di samping memupuk nilai kebersamaan, keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan komuniti kampus.
“Program ini bukan sahaja menyemarakkan budaya berkongsi rezeki, malah memperkukuh persepsi positif masyarakat terhadap peranan PTPTN dalam menyantuni komuniti pendidikan. Melalui program ini, kakitangan politeknik, Majlis Perwakilan Pelajar serta warga PTPTN bergotong-royong menyediakan juadah berbuka puasa,” katanya.

Beliau berkata, program yang berlangsung dari 24 Februari hingga 13 Mac ini akan menjelajah lima zon melibatkan tujuh lokasi di seluruh negara, termasuk Zon Tengah, Utara, Timur, Selatan dan Borneo, antaranya di Politeknik Ungku Omar, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Kota Kinabalu serta Universiti Putra Malaysia Sarawak.
Dalam program berkenaan, PTPTN turut menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI berjumlah RM500 secara one-off kepada tiga pelajar kurang berkemampuan, selain menyalurkan sumbangan Kit Kasih PTPTN berupa kotak makanan kepada 20 kakitangan politeknik yang memerlukan.

PTPTN yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan program kebajikan dan CSR bagi menyokong kesejahteraan pelajar serta pembangunan pendidikan negara selaras dengan moto “Peluang Kejayaan Anda” dan tagline “PTPTN Prihatin: Kami Kongsi, Kami Bantu.”




