PROGRAM KARIAH MADANI PLATFORM AGENSI AGAMA DEKATI KOMUNITI

PUTRAJAYA, 23 Jan (IKIM) – Program Kariah MADANI yang bakal dianjurkan setiap Jumaat bakal menjadi platform berstruktur serta berimpak dalam menyantuni masyarakat menerusi pelbagai aktiviti kebajikan, perkhidmatan dan pembangunan sosial di masjid-masjid terpilih seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata, program itu dilaksanakan setiap hari Jumaat dengan penglibatan menyeluruh agensi-agensi hal ehwal agama serta rakan strategik daripada pertubuhan masyarakat sivil (NGO) selaras aspirasi memperkukuh nilai MADANI dalam komuniti setempat.

“Alhamdulillah, bermula di Surau Al-Furqan, Presint 11 hari ini, kita melancarkan satu program yang lebih tersusun dan memberi impak langsung kepada masyarakat. Kariah MADANI akan dianjurkan setiap hari Jumaat di masjid-masjid terpilih di seluruh negara,” katanya ketika ditemui selepas pelancararan Kariah MADANI di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Datuk Dr. Hasan Bahrom dan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil. 

Dr. Zulkifli menjelaskan, Kariah MADANI memberi peluang kepada masyarakat mendapatkan perkhidmatan terus daripada agensi agama seperti kaunter zakat, khidmat nasihat, kaunseling, penerangan wakaf dan bimbingan urusan keagamaan.

“Sebagai contoh, PPZ menawarkan perkhidmatan berkaitan zakat, Tabung Haji boleh membuka kaunter nasihat, manakala JAKIM menyediakan khidmat kaunseling. Ini menjadikan agensi agama lebih dekat dan mudah diakses oleh masyarakat,” kata beliau. 

Dalam masa sama, program itu turut membuka ruang kerjasama bersama NGO yang terlibat dalam misi kemanusiaan, termasuk bantuan kepada mangsa banjir di Aceh, sebagai usaha memupuk semangat kebersamaan dan tanggungjawab sosial.

Pada majlis tersebut turut diserahkan sumbangan berjumlah RM60,000 kepada tiga NGO yang terlibat membantu mangsa bencana di Aceh hasil sumbangan daripada masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan. 

Beliau menegaskan, Kariah MADANI bertujuan menghidupkan hari Jumaat bukan sekadar melalui pengisian kerohanian tetapi turut merangkumi dimensi sosial dan kemasyarakatan.

“Kita mahu hari Jumaat dimulakan dengan kesolehan ritual dan disempurnakan dengan kesolehan sosial, supaya kita dapat gabungkan kedua-dua dimensi tersebut” tambah beliau. 

Jurugambar: Fathulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top