PROGRAM JELAJAH MADANI ULAMA DAN UMARA KUKUHKAN PERANAN MURABBI UMMAH 

KUANTAN, 28 Jun (IKIM) – Program Jelajah MADANI Ulama dan Umara Peringkat Zon Timur hari ini menjadi medan penting dalam memperkukuh ukhuwah, menyatukan fikrah dan menyemarakkan dakwah Islamiah di kalangan masyarakat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata keamanan dan keharmonian masyarakat merupakan asas kestabilan negara.

“Kita berdepan pelbagai cabaran yang menggugat kesejahteraan, antaranya perpecahan akibat fahaman politik melampau, fitnah media sosial, penghinaan terhadap institusi agama, serta penolakan terhadap ilmu sahih,” ujar beliau.

Beliau berkata jika suasana sejahtera tidak terpelihara, maka pelaksanaan Maqasid Syariah yang meliputi pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta akan terjejas.

Majlis tersebut turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan besar para murabbi ummah termasuk imam, guru takmir, guru KAFA, pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid dalam mendidik umat dan menyuluh jalan kehidupan dengan cahaya ilmu dan adab.

Mohd Na’im menyeru para murabbi ummah tampil sebagai agen perubahan yang menebarkan nilai rahmah dan kasih sayang, memperbetul haluan masyarakat dan menyuburkan kembali nilai Islami.

“Sebagai penghargaan terhadap sumbangan para murabbi ummah, pelbagai inisiatif kebajikan telah dilaksanakan melalui JAKIM, termasuk imbuhan bulanan kepada imam, elaun guru takmir dan KAFA, serta Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 secara one-off dan RM250 sempena Aidilfitri,” kata beliau. 

Sebanyak RM242 Juta untuk Kebajikan Murabbi Ummah di Pantai Timur melibatkan 21,086 penerima manfaat.

Sebagai kemuncak program, seramai sembilan tokoh dari kalangan imam, guru takmir dan guru KAFA dari negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Mithali. Masing-masing menerima wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan.

Dr. Na’im menzahirkan harapan agar penghargaan ini menjadi pencetus semangat buat para pendidik dan pendakwah untuk terus menyemarakkan dakwah dan pendidikan Islam.

“Marilah kita melangkah ke tahun baharu Hijrah 1447H dengan iltizam baharu, membina peradaban MADANI yang berteraskan ihsan, hormat dan kesejahteraan sejagat,” ujarnya mengakhiri ucapan.

Program ini dianjurkan dengan kerjasama erat antara JAKIM, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), dan Yayasan Islam Terengganu (YIT). Penganjuran bersempena Karnival Al-Falah Madani Indera Mahkota 2025 di Masjid Jamek Beserah, di sini bermula 27 – 29 Jun.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang dan Mufti Negeri Pahang, Sahibus Samahah Profesor Dato’ Dr. Asmadi Bin Mohamed Naim. 

Terdahulu Mohd Na’im menyantuni komuniti Nelayan di Pantai Pelindung, Beserah serta beberapa penerima manfaat daripada program Ziarah Musa’adah sekitar komuniti setempat. 

WhatsApp
Scroll to Top