PROF. MADYA DATO’ DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL DILANTIK SEMULA SEBAGAI KETUA PENGARAH IKIM

KUALA LUMPUR, 31 Januari – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil telah dilantik semula sebagai Ketua Pengarah IKIM bagi tempoh tiga tahun bermula 3 Februari 2025 hingga 2 Februari 2028.

Pelantikan ini dibuat olehPerdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali gus mengekalkan kepimpinan beliau yang telah bermula sejak 3 Februari 2022.

Mohamed Azam, yang dilahirkan pada 18 Jun 1966, memiliki kelayakan akademik dalam bidang syariah dan undang-undang. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Malaya (UM) pada 1990 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam jurusan undang-undang di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, United Kingdom (UK) pada 2007.

Sebelum berkhidmat di IKIM, beliau mempunyai pengalaman luas dalam bidang akademik dan pentadbiran. Beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dari 1990 hingga 2020 serta memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif di International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS) dari 1 April 2013 hingga Februari 2022. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Pengerusi Jawatankuasa Syariah Kumpulan CIMB dari 2014 hingga 2017.

IKIM merakamkan penghargaan kepadaPerdana Menteri atas pelantikan semula ini dan menzahirkan keyakinan bahawa di bawah kepimpinan Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam, institut ini akan terus mencapai kecemerlangan serta memberi impak yang lebih besar kepada masyarakat di dalam dan luar negara.

WhatsApp
Scroll to Top