PPZ-MAIWP TERIMA ZAKAT PERNIAGAAN HAMPIR RM33.8 JUTA DARIPADA 28 SYARIKAT KORPORAT

PUTRAJAYA, 16 Dis (IKIM) – Pusat Pungutan Zakat–Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM33,763,987 daripada 28 syarikat dan entiti korporat di Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan zakat daripada syarikat dan entiti korporat amat signifikan kerana ia berperanan sebagai pelengkap kepada dasar kerajaan dalam memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan secara lebih berkesan.

Beliau berkata usaha itu selari dengan Gagasan Malaysia MADANI yang menekankan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, selain Pelan Transformasi Al-Falah yang memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi asnaf secara lebih tersusun dan sistematik.

“Dalam kerangka ini, institusi zakat seperti MAIWP dan PPZ-MAIWP terus diperkasa bagi memainkan peranan strategik sebagai badan pengurusan zakat yang cekap dan telus. Sumbangan sektor korporat melalui zakat perniagaan melengkapkan usaha ini serta memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran dengan lebih tepat dan memberi impak maksimum,” kata beliau. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Zakat Korporat 2025 di sini hari ini. 

Penyerahan zakat yang disampaikan oleh wakil syarikat kepada PPZ-MAIWP, yang diwakili Pengerusinya, Dato’ Sri Amrin Awaluddin, disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Hj. Mohd Na’im Mokhtar dan  turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Majlis penyerahan zakat perniagaan itu diadakan sebagai simbolik komitmen berterusan sektor korporat dalam menunaikan tanggungjawab zakat melalui PPZ-MAIWP, di samping menghargai sumbangan konsisten para pembayar zakat.

Dalam tempoh Januari hingga November tahun ini, PPZ-MAIWP merekodkan kutipan zakat perniagaan sebanyak RM135.4 juta melibatkan pelbagai sektor. Pada tahun lalu, zakat perniagaan menyumbang 16 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat dengan jumlah RM183.8 juta, menjadikannya penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan.

Sementara itu, PPZ-MAIWP menyeru orang ramai agar menunaikan zakat sebelum atau pada 31 Disember ini bagi melayakkan mereka menerima rebat cukai pendapatan 100 peratus, selain berpeluang memenangi lebih 1,300 hadiah istimewa termasuk pakej umrah, pakej percutian dan jongkong emas.

WhatsApp
Scroll to Top