PPZ-MAIWP LANCAR KEMPEN RAMADAN ‘JIWA MEMBERI’

KUALA LUMPUR, 28 Februari (IKIM) – Seribu pembayar wanita terawal untuk zakat harta di PPZ-MAIWP berpeluang menerima cenderahati eksklusif TUDUNGRUFFLE.

Itu antara kelebihan yang bakal diperolehi pembayar-pembayar zakat pada Ramadan 1446H.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) Encik Mohammed Hassan, koleksi TUDUNGRUFFLE ini direka khas hanya untuk pembayar-pembayar zakat harta wanita  dengan pembayaran minimum RM 1000.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Kempen Ramadan PPZ-MAIWP Jiwa Memberi di sini, hari ini.

Beliau berkata, untuk menarik minat pembayar-pembayar zakat, Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah melancarkan Kempen Ramadan Jiwa Memberi bersama tiga rakan strategik iaitu TUDUNGRUFFLE, Bright Cow dan aplikasi Iman Pro.

”Koleksi TUDUNGRUFFLE ini direka khas hanya untuk pembayar-pembayar zakat harta wanita  dengan pembayaran minimum RM 1000,” kata beliau.

Manakala Bright Cow pula menawarkan 10,000 kit Ramadan istimewa yang terdiri dari susu kotak dan kurma buat pembayar zakat dan waqaf terawal di kaunter PPZ-MAIWP.

Pembayar zakat turut berpeluang untuk memuat turun aplikasi Iman Pro secara percuma selama seminggu antara 28 Februari 2025 sehingga 4 Mac 2025. Pengguna aplikasi ini bakal mendapat notifikasi peringatan dan informasi eksklusif berkenaan wakaf dan zakat.

PPZ-MAIWP turut menjalankan pelbagai program khas sepanjang Ramadan 2025 termasuklah Program Turun Padang, Program 1 Hari 1 Ilmu, 5 episod drama pendek Ramadan dan Ramadan Rewards. 

“Kadar bayaran fitrah di Wilayah Persekutuan pada tahun ini adalah sebanyak RM 7, RM 15, dan RM 22. Bayaran zakat fitrah boleh dibuat di mana-mana 10 kaunter PPZ-MAIWP bermula jam 8.15 pagi sehingga 4.30 petang, manakala pada hari terakhir Ramadan, kaunter akan ditutup pada jam 1.00 petang,” tambah beliau. 

Untuk memudahkan urusan pembayar zakat fitrah, PPZ-MAIWP turut menempatkan 969 amil fitrah di pelbagai lokasi strategik seluruh negara termasuk pusat membeli belah dan masjid. Bayaran turut boleh dilaksanakan secara atas talian menerusi portal PPZ-MAIWP, aplikasi MyZakat serta perbankan internet.

WhatsApp
Scroll to Top