SINGAPURA, 28 Mei (IKIM) – Rancangan bual bicara ‘podcast’ Sit&Seek terbitan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berjaya merangkul pengiktirafan pada malam Anugerah Asia Pacific Broadcasting+ Awards 2025 yang berlangsung di Crowne Plaza, Changi Airport, di sini hari ini.
Anugerah yang mempertandingkan 27 kategori bagi pengamal media di seluruh Asia Pasifik itu menobatkan podcast Sit&Seek untuk kategori Radio Podcast Malaysia.
Penerbit dan pengacara podcast tersebut, Nurul Izzati Zakariah bersyukur atas pengiktirafan yang diberikan ini.
“Benarlah usaha tidak akan pernah mengkhianati hasil. Anugerah di peringkat Asia ini menjadi bukti bahawa usaha gigih dan keikhlasan dalam menyampaikan kandungan yang berkualiti akan sentiasa dihargai,” kata beliau.

Beliau berkata dengan anugerah ini semoga menjadi motivasi untuk beliau dan pasukan mencipta kandungan yang lebih kreatif dan relevan di mata penonton.
Izzati berkata selepas ini perancangan yang lebih teliti akan dibuat dalam aspek pemilihan tajuk, walaupun program bual bicara santai namun mesej-mesej Islam yang hendak diketengahkan itu sampai ke khalayak penonton.
Bagi Pengarah Pusat Media IKIM, Ahmad Fuad Mat Ali yang hadir pada majlis tersebut menyatakan komitmen Pusat Media IKIM akan terus menghasilkan kandungan yang kreatif, yang penuh dengan nilai dan menonjolkan bahawa penerbitan kandungan digital islami memang dialu-alukan di peringkat dunia.
Podcast Sit&Seek pada 2024 pernah tersenarai sebagai finalis bagi Anugerah Seri Angkasa kategori Podcast Terbaik.
Turut hadir Pegawai Teknologi Maklumat Kanan IKIM, Mohamad Zainal Mohd Ghani.