PM SERU MAJORITI CINTAKAN KEDAMAIAN BANGKIT TOLAK KEBENCIAN

KUALA LUMPUR, 23 Mei (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru golongan majoriti rakyat Malaysia yang cintakan kedamaian agar bangkit bersuara menolak budaya kebencian, fitnah dan provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara.

Beliau berkata keadaan semasa memperlihatkan seolah-olah wujud “tyranny of the minority” apabila terdapat segelintir pihak yang lantang menyebarkan kemarahan, kebencian dan fitnah sehingga cuba mempengaruhi masyarakat majoriti.

Menurut beliau, tindakan kelompok kecil yang gemar menimbulkan kebencian dan ketakutan tidak boleh dibiarkan sehingga mengancam perpaduan serta kestabilan negara.

“Saya menyeru supaya majoriti yang cintakan keamanan tampil bersuara dari hati nurani mereka demi menyelamatkan negara dan memajukan masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak di ibu negara, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Presiden Majlis Perundingan Buddha Malaysia (MBCC), Lillian Chang serta Ketua Pengaarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Perdana Menteri berkata Malaysia sejak awal pembentukannya di bawah pimpinan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman dibina atas asas perpaduan dan penerimaan terhadap kepelbagaian kaum serta agama.

Beliau berkata walaupun masyarakat Melayu dan Bumiputera merupakan majoriti dan Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan, negara ini terus dibangunkan atas prinsip saling menghormati dan memuliakan antara satu sama lain.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, kita bukan mencipta sesuatu yang baharu, tetapi meneruskan agenda yang telah diasaskan oleh pengasas negara,” katanya.

Beliau turut menegaskan pembangunan negara tidak boleh hanya tertumpu kepada aspek teknologi, digital dan inovasi semata-mata, sebaliknya perlu berpaksikan nilai, etika dan hati nurani yang berteraskan ajaran agama.

Menurut beliau, konsep kasih sayang dan belas ihsan yang terkandung dalam semua agama perlu diterjemahkan dalam kehidupan seharian dan tidak digantikan dengan kebencian serta perpecahan.

Wacana yang dianjurkan bersama Kementerian Pengangkutan dan MBCC itu menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk tokoh agama, ahli akademik dan wakil masyarakat bagi membincangkan aspek dialog antara agama, khidmat komuniti serta pembangunan ekonomi berteraskan nilai.

Sementara itu, Anthony Loke berkata kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta bagi menjayakan program berkenaan termasuk pelaksanaan aktiviti jangkauan masyarakat di seluruh negara menerusi pelbagai rangkaian organisasi.

Beliau berkata program itu menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan nasional serta menyokong visi Malaysia sebagai sebuah negara yang inklusif dan harmoni.

Tambah beliau nilai seperti kejujuran, tanggungjawab dan kebaikan hati perlu dijadikan asas dalam pembentukan masyarakat maju dan sejahtera.

Kredit foto: Fatkhulmungin Mohd Yusof

WhatsApp
Scroll to Top