RIAU, 23 Mei (IKIM) – International Seminar on Arabic Language and Religion (ISAR’26) yang berlangsung di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Datuk Laksemana Bengkalis, Riau, Indonesia berjaya menghimpunkan tokoh akademik, pendidik dan mahasiswa dari Malaysia serta Indonesia dalam usaha memperkukuh jaringan ilmu, bahasa Arab dan dakwah serantau.

Seminar anjuran bersama Unit Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan IAIN Datuk Laksemana Bengkalis itu menjadi platform penting dalam mempererat hubungan akademik dan ukhuwah Nusantara menerusi pelbagai pengisian ilmiah dan kebudayaan.
Program tersebut diisi dengan sesi ucaptama, pembentangan ilmiah, aktiviti silang budaya serta kunjungan hormat ke Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bengkalis dan Wisma Bupati Bengkalis.
Selain kerjasama liputan media bersama IKIMfm, personaliti penyiaran, Datin Mona Jasman turut menyampaikan taklimat berkaitan dunia penyiaran dan media dakwah kepada pelajar Pondok Pesantren Bequranic, Bengkalis.

Beliau turut berkongsi kata-kata motivasi dalam usaha menyuntik semangat generasi muda untuk mendalami bahasa Arab serta meneroka bidang media Islam sebagai medium dakwah yang berkesan.
Dalam pada itu, pertemuan bersama Majlis Ulama Indonesia (MUI) Bengkalis membuka ruang kepada kerjasama strategik dalam bidang media, dakwah dan pengembangan bahasa Arab antara Malaysia dan Indonesia.

ISAR’26 dilihat sebagai medan penting dalam memperkukuh peranan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu dan dakwah di rantau ini, selain memperluas jaringan kerjasama pendidikan dan penyiaran Islam antara kedua-dua negara.




