KUALA LUMPUR, 4 Ogos (IKIM) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini bagi menyertai Himpunan Pembebasan Palestin yang diadakan untuk menyatakan sokongan Malaysia kepada rakyat Palestin.
Ketibaan Perdana Menteri pada 9.20 malam disambut tetamu kenamaan termasuk Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta laungan “Bebas Palestin”, dan “Free Palestin” oleh ribuan hadirin yang memenuhi dewan tertutup itu.
Perdana Menteri turut menyampaikan pidato pada acara kemuncak himpunan itu dengan laungan “we will never surrender” untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan Palestin bersama beberapa pemimpin lain.
Antara program yang diatur pada himpunan yang bermula seawal 6 petang itu ialah Pidato Solidariti Palestin, solat maghrib berjemaah yang dipimpin oleh imam Paleetin serta sesi tayangan video khas.
Khamis lepas, Perdana Menteri berkata himpunan solidariti berkenaan adalah antara tindakan bagi menyampaikan mesej bahawa Malaysia mengutuk pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh dan menyokong Palestin.
Haniyeh dilaporkan terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kediamannya di utara Tehran pada kira-kira 2 pagi waktu Iran, pada 31 Julai. Beliau berada di ibu negara Iran itu untuk menghadiri majlis pelantikan Presiden Iran yang baharu, Masoud Pezeshkian.
Himpunan Pembebasan Palestin yang dihadiri lebih 15,00 orang itu turut menampilkan kumpulan nasyid Rabbani dan Awla mengalunkan lagu ‘Bebas Palestin’ serta memimpin bacaan doa Qunut Nazilah sebelum majlis bersuarai sekitar jam 10.30 malam.