PM BUKTIKAN KEPIMPINAN GLOBAL MELALUI KEJAYAAN GENCATAN SENJATA THAILAND – KEMBOJA 

KUALA LUMPUR, 30 Julai (IKIM) – Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan besar beliau dalam memeterai perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja, yang berkuat kuasa pada tengah malam semalam.

Menurut Ketua Pengarah IKIM Prof Madya Dato’ Dr Mohamed Azam Mohamed Adil, kejayaan ini bukan sahaja menandakan detik bersejarah bagi kedua-dua negara terbabit, malah membawa impak besar kepada kestabilan rantau Asia Tenggara dan dunia.

“Perjanjian ini memperlihatkan keberkesanan diplomasi berteraskan kesabaran, hikmah dan ketegasan. Ia membuktikan bahawa Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, memainkan peranan penting dalam menyokong prinsip keamanan sejagat melalui pendekatan rundingan damai,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Beliau menyifatkan kejayaan tersebut sebagai manifestasi kepimpinan Islam yang mengutamakan keadilan, perdamaian dan kemuliaan insan, sekali gus menunjukkan kepada dunia bahawa kekuatan sebenar tidak semestinya bersifat ketenteraan, tetapi berpunca daripada akhlak, moral dan ketelusan dalam pengurusan konflik.

“Pencapaian ini memberi teladan jelas kepada masyarakat antarabangsa tentang keupayaan pendekatan diplomasi yang berteraskan nilai dan etika Islam dalam merungkai kekusutan yang berpanjangan,” tambah beliau.

Dalam pada itu, IKIM menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menzahirkan rasa syukur atas kejayaan ini serta menghayati pentingnya keamanan sebagai asas kemajuan dan kesejahteraan bersama.

Sebagai institusi di bawah Jabatan Perdana Menteri yang mempromosi kefahaman Islam yang sebenar, IKIM turut menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh nilai-nilai kedamaian, persefahaman dan penghormatan sejagat selaras dengan tuntutan Islam.

WhatsApp
Scroll to Top