PM ANWAR RASMI PENUTUPAN RANCAKKAN MADANI, LUNCUR INISIATIF RAKYAT BAHARU

PUTRAJAYA, 7 Dis (IKIM) – Majlis penutupan Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 berlangsung meriah hari ini dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan acara berkenaan selepas tiga hari penganjurannya.

Program yang bermula pada jam 11 pagi itu dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan bacaan ikrar Rukun Negara oleh petugas Kementerian Perpaduan Negara, Muhammad Ismail Aminuddin. Turut mencuri perhatian ialah persembahan pembukaan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin, sebelum disusuli ucap tama oleh Anwar.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut meluncurkan dua projek rakyat baharu Sahabat Penggerak MADANI serta Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0, sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkasakan jaringan keselamatan sosial dan penglibatan komuniti.

Program Rancakkan MADANI dianjurkan bagi mengetengahkan manifestasi pencapaian Kerajaan MADANI sepanjang 2025, di samping memperluas kefahaman mengenai Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA). lanya menampilkan lapan segmen utama merangkumi Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan MADANI, ARPA, Kepengerusian ASEAN, Ukhwah MADANI, Jualan MADANI, Belia MADANI dan fokus Tahun Melawat Malaysia 2026.

Anjuran bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam serta Perbadanan Produktiviti Malaysia itu turut menyajikan pelbagai acara interaktif dan forum berimpak tinggi. 

Antara tumpuan hari ini ialah kemunculan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof dalam forum bertajuk Kerajaan MADANI: Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan.

Pengisian lain termasuk sesi cabutan bertuah serta demonstrasi Cucian Lestari oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menerusi kerjasama dengan Indah Water Konsortium (IWK).

Secara keseluruhan, program itu bukan sahaja menyerlahkan usaha kerajaan memperkukuh perpaduan, pendidikan, seni dan syiar Islam, malah mempamerkan keberhasilan pentadbiran MADANI sepanjang tiga tahun.

Sebagai tarikan tambahan kepada pengunjung, Jualan MADANI menawarkan potongan harga barangan keperluan termasuk promosi ‘balik ke sekolah’, manakala karnival kerjaya melibatkan penyertaan 30 majikan dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan. Antara majikan terlibat ialah FGV Holdings Bhd, SD Guthrie, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, Westport, Port of Tanjung Pelepas dan Columbia Asia — menjadikannya antara platform padanan pekerjaan terbesar menjelang penghujung 2025.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato Setia Dr. Hj Mohd Na’im Mokhtar yang berkesempatan mengunjungi Pavilion Al-Falah dan reruai IKIMfm serta beramah mesra bersama pengunjung dan penyampai IKIMfm. 

WhatsApp
Scroll to Top