PUTRAJAYA, 8 Ogos (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan pelancaran percetakan al-Quran terjemahan bahasa ke-30 iaitu Bahasa Rusia, sekali gus mengukuhkan komitmen Malaysia dalam misi penyebaran wahyu Allah SWT ke seluruh dunia.
Majlis yang berlangsung di Kompleks Nasyrul Quran itu turut menyaksikan peluncuran Mushaf Ummah al-Jami’, memorandum persefahaman (MoU) bagi Projek 1 Juta al-Quran di Afrika Selatan dan Australia, serta pelancaran penghantaran kontena naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Inggeris dan Sepanyol ke Amerika Syarikat.
Pelancaran terjemahan ke-30 ini merupakan kesinambungan Projek 1 Juta Naskhah al-Quran yang diperkenalkan pada 2023 sebagai respons terhadap insiden pembakaran al-Quran di Sweden. Setakat ini, projek tersebut telah menghasilkan terjemahan dalam 29 bahasa termasuk Inggeris, Tagalog, Perancis, Hindi, Hausa dan Sepanyol.

Dengan penambahan versi Bahasa Rusia, Yayasan Restu merancang untuk memperluas lagi terjemahan kepada 60 bahasa dalam tempoh tiga tahun, selaras dengan misi dakwah rahmatan lil alamin.
“Inisiatif ini memastikan mesej al-Quran dapat dihayati oleh pelbagai bangsa dan komuniti di seluruh dunia,” kata Anwar.
Beliau berkata inisiatif itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai antara pengeluar al-Quran terbesar di dunia, sebaris dengan Arab Saudi dan Mesir, serta menjadi peneraju utama di rantau ini.
Turut dilancarkan ialah Mushaf Ummah al-Jami’, hasil usaha ilmiah pakar qiraat antarabangsa yang diselia ulama tersohor, Syeikh Dr. Ahmad Isa Al-Ma’sarawi. Malaysia menjadi antara negara pertama di dunia yang menerbitkan mushaf ini secara rasmi dan diiktiraf peringkat antarabangsa. Sebanyak 500,000 naskhah akan dicetak lengkap dengan 20 qiraat mutawatir serta audio bacaan Syeikh Dr. Ahmad Isa.
Dalam majlis yang sama, dua MoU dimeterai bagi memperluaskan Projek 1 Juta al-Quran ke Afrika Selatan dan Australia. Kerjasama itu melibatkan kempen wakaf antarabangsa, kutipan dana, pembiayaan dan pengedaran naskhah ke negara terbabit.
Anwar turut melancarkan simbolik penghantaran kontena berisi 20,000 naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Sepanyol Latin dan Inggeris ke Jannah Institute, California, sebagai sebahagian usaha menangani Islamofobia secara berhikmah.
Majlis bersejarah itu menghimpunkan para ilmuwan, duta besar, penggiat dakwah, hakim Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa, pengamal media serta masyarakat awam, menzahirkan sokongan padu terhadap usaha Malaysia memartabatkan wahyu Allah di persada dunia.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zamrby Abdul Kadir; Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Pengerusi Nasyrul Quran, Datuk Seri Ahmad Maslan; dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu dan Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran, Datuk Latif Mirasa.