PM ANWAR LANCAR INISIATIF RAKAN MASJID X RAKAN MUDA RAMADAN

KUALA LUMPUR, 22 Feb (IKIM) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan yang bertujuan menghubungkan institusi masjid dengan golongan belia melalui pendekatan lebih segar dan inklusif.

Datuk Seri Anwar berkata inisiatif itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan insan secara menyeluruh.

Beliau berkata masjid tidak harus dilihat sekadar tempat ibadah, sebaliknya berperanan sebagai pusat penyatuan masyarakat dan pembangunan sahsiah.

“Anak muda perlu diberi ruang dan kepercayaan untuk memimpin aktiviti yang membawa manfaat kepada masyarakat.

“Saya senang bila ada tokoh-tokoh muda kita, tidak sibuk dalam isu-isu yang memecah-belahkan, sebaliknya menggunakan Ramadan dan Madrasah Ramadan untuk mengangkat darjat kemanusiaan dan keimanan kita, secara positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama Perdana Menteri dan pelancaran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan di sini.

Turut hadir YB Senator Dr Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YB Dr. Mohammed Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan; Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj. Othman; serta ketua-ketua agensi Hal Ehwal Agama termasuk Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

Perdana Menteri mahu institusi masjid terus diperkasakan sebagai pusat pembangunan ummah serta medan menyemai nilai ihsan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.

Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di setiap negeri serta 113 daerah di seluruh negara.

Penyertaan di setiap negeri disasar melibatkan 400 peserta kecuali di Perlis dan Labuan yang masing-masing 300 peserta, menjadikan jumlah keseluruhan penyertaan di peringkat negeri sebanyak 5,800 orang.

Bagi peringkat daerah, sebanyak 130 peserta dijangka menyertai program itu, menjadikan jumlah keseluruhan 14,690 peserta.

WhatsApp
Scroll to Top